Dengan nama Allah yang
Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...
Terima kasih sahabatku untuk segalanya. Memang
benar kata hatiku, kau hanya tetamu hatiku yang datang dan pergi begitu sahaja.
Maaf andai kata aku tersilap mencongak pada nilai
kejujuran dan berterus terang. Sesungguhnya kau lah sahabat yang menunjuk jalan
padaku tanpa sedarmu. Duhai sahabatku, dunia kita memang berbeza tetapi hidup
kita seakan sama.
Kita mencintai ilmu dan itulah yang mendekatkan
hatiku padamu. Aku dambakan perubahan positif dalam diri ini dan kita seiring
sejalan mula berubah menjadi lebih baik. Perubahan inilah yang dituntut kerana
tiada manusia yang sempurna hidupnya. Kehidupan sederhana dan dilingkumi
ukhuwah yang terbina menjadikan hidup sangat bermakna.
Terima kasih kerana menyedarkan hakikat
silaturahim itu. Malah kebahagiaan yang dicari sebenarnya tergumpal dalam hati
melalui keimanan. Iman yang memberikan sumber inspirasi untuk menjadi hamba-Nya
yang bersyukur dan tidak putus asa. Jika iman yang setipis kulit bawang ini
tidak dijaga mungkin setiap insan akan tersasar dalam hidup hingga jauh
daripada keberkatan Ilahi.
Jalinan ukhuwahmu membuatkan aku teringat pada
bait-bait ayat ini.
"Duhai wanita,
jagalah pandanganmu dan tundukkanlah hatimu dengan rasa keimanan yang teguh
kepada Allah swt. Janganlah kau menyalahkan takdir atas perkara yang kau tidak
sukai namun sebaliknya bersangka baiklah pada Tuhan sekalian alam. Mungkin apa
yang disukai olehmu tidak menjanjikan kebaikan padamu dan mungkin yang kau
tidak sukai itulah yang menjadi perkara terbaik bagimu."
Dua dunia yang berbeza diikat dengan satu kata, UKHUWAH
atau persaudaraan Islam. Ada mulanya dan tiada penghujungnya, seperti seutas
tasbih yang diikat kerana kasih sayang dan diratib demi mencapai redhaNya.
Itulah kata-kata azimat yang akan ku pegang selamanya. Ukhuwah yang didasari
kerana Allah s.w.t akan menjadi suatu ukuran terbaik dalam perhubungan. Maka
aku berharap persaudaraan sesama Islam akan terus mekar tanpa henti. Hal ini
sangat bersesuaian dengan penjelasan nabi junjungan kita Nabi Muhammad saw
iaitu :
"Di sekeliling
Arsy terdapat mimbar-mimbar dari cahaya yang ditempati oleh suatu kaum yang
berpakaian dan berwajah (cemerlang) pula. Mereka bukanlah para nabi atau
syuhada, tetapi nabi dan syuhada merasa iri terhadap mereka."
Para sahabat berkata,
"Wahai Rasulullah, beritahukanlah kepada kami tentang mereka."
Baginda menjawab, "Mereka adalah orang-orang yang saling mencintai,
bersahabat, dan saling mengunjungi kerana Allah swt." (HR Nasa'i dari Abu
Hurairah Radiallahu 'anhu)
Dengan itu walaupun kita sudah semakin jauh
mengorak langkah menuju destinasi berlainan, aku akan tetap menganggap dirimu
sebagai sahabat terbaikku.
Akhir kata, andai kita bertemu lagi, janganlah
kau kenang perkara yang tidak baik tentang aku tetapi kenanglah perkara yang
indah tentang kita. Apabila kita mulakan hidup baru, itu tidak bermakna memori
lama akan terhapus tetapi ianya akan menjadi sebahagian kehidupan kita yang
hakiki. Hakikat sebuah pertemuan yang manis dan akan kekal begitu.
Apapun terima kasih Ya Allah kerana menemukan aku
dengan dia walaupun seketika. Selamat tinggal sahabat. Moga kau menemui
pencarianmu...
No comments:
Post a Comment