Tuesday 29 May 2012

SUMMER CAMP SMV PORT DICKSON




Pertama kali tatakala ku melangkah
ku lihat ada sinar cahaya dalam diri mereka..
jelas terpancar kecerian ,
senyuman menyambutku di dalam bas..

aku cuba memahami mereka ,
ku letakkan diri ini setaraf dengan mereka..
tiada beza pelajar sekolah atau seorang mahasiswa..
kenangan di kandang rusa, mencari daun dan serangga..
walaupun kelihatan keringat mengalir di wajah mereka
tapi semangat mereka masih membara…

tingginya harapan dan impian mereka..
setinggi impian untuk membina pulau harapan..
namun ingatlah adikku..
impian tanpa usaha hanya ibarat rumah tanpa tiangnya…

biarlah air mata yang mengalir itu
sebagai tanda titik permulaan kalian akan berubah
marah bukan tanda benci..
tapi marah tanda sayang..
moga kalian sedar akan matlamatnya..
agar menjadi insan yang berjasa kepada keluarga bangsa dan agama..




hari ini ku merenung sendirian..
terkenangkan saat indah bersama mereka..
walau hanya beberapa hari kita bersama..
namun ukhwah yang terjalin itu harap berkekalan selamanya..

pantai berpasir
adalah kanvas tanpa akhir
jejak-jejak kita terukir
jadi berbaris sajak.

laut berbisik pada pasir
mengeja jejak kita
lalu membawanya ke samudera lepas

ku bacakan nukilan ini di atas karang
lidah ombak membacakan sajak yang dikarang
disaksikan ikan, ubur-ubur dan kerang..


Tika gerimis
menimpa jendela
tika kilat
menoreh angkasa
tika malam
melabuhkan jubah hitamnya;

rasa ingin mengabadikan perasaan
dalam bait-bait puisi
tapi, tolong
tolonglah ku habiskan suara
kerana apakah ada kata-kata
yang mampu membawa
erti seberat ini?

ku tidak tahu
mungkin ini puncak paling tinggi
mungkin pula lembah paling dalam
rasa kenanganku kpd kalian..

ku ingin kalian mengimbau kenangan..
saat melukis pulau impian..
banyak lukisan penuh dengan harapan..
jangan hanya terus menjadi angan-angan..
tanpa usaha yang berpanjangan..
walaupun pulau kalian dirobekkan..
bukannya tanda kami rendahkan..
tapi hanya sebagai ingatan
jangan terlalu leka dalam keseronokan..


menitisnya air mata itu
seduan tangisan itu
lafaz penyelesalan kemaafan
harap bukannya hanya seketika
bukannya pada malam itu sahaja
tapi untuk selamanya
sebagai tanda penghijrahan kita..

bukannya menjadi bebanan kami menerima kunjungan kalian..
tiada langsung perasaan menyesal yang disimpan
kalian disambut dengan senyuman
tanda ada perasaan kasih dan sayang
untuk mengubah peribadi seorang insan..

Dalam setiap perjalanan
kita merantai kisah
suka, duka, tangis, tawa
marah, gembira..
Semuanya berpadu dalam balutan
Persahabatan kasih sayang sesama insan
Jarak tak bisa memisahkan kita
Jarak tak bisa menghilangkan tali persaudaraan kita
Jarak tak bisa membuatku melupakanmu
Jarak tak bisa membuatku melupakan persahabatan kita

Persahabatan kita BUKAN seperti MATEMATIKA yang DAPAT DI HITUNG NILAINYA
BUKAN seperti EKONOMI yang mengharapkan MATERI
BUKAN pula PPKN yang di TUNTUT UNDANG_UNDANG
TETAPI SEPERTI SEJARAH YANG DI INGAT DAN DIKENANG SEPANJANG MASA…
SEMOGA BERJAYA SEMUA ADIK-ADIK..
INSYAALLAH  DIKESEMPATAN LAIN KITA PASTI AKAN BERTEMU…










Friday 25 May 2012

JANGAN SALAHKAN TAKDIR




Terkadang,
Angin yang lembut itu bisa berubah kencang,
Dan manusia yang sedang ketawa itu,
Terus menangis gundah..

"hahahaha" Satu hari, Syauqi seronok bergelak ketawa, sambil kaki berjalan mengundur.
Gedebuk!
Seperti nangka sahaja jatuhnya, semua yang ada terkejut.
Syauqi kembali bangun, menggosok-gosok punggungnya, "HAHA. tak sakit tak sakit." Katanya selamba.
Ah anak kecil ini.

Dahulu Kita Juga Sepertinya

Sahabat,
Dahulu, Sewaktu kita kecil kita juga kuat. Banyak kali kita terjatuh ketika cuba hendak berjalan, tapi akhirnya kita bangkit kembali. Banyak kali kita 'dikecewakan' kerana tidak dapat menjamah semua makanan, tapi selepas itu kita ketawa kembali. Banyak kali kita bergaduh dengan teman sebaya, tapi selepas itu kita kembali bersapa dan berbual mesra.

Tapi,Semakin kita menginjak dewasa, kekuatan itu semakin hilang.
Waktu ditimpa dugaan, kita asyik bersedih.
Waktu disapa ujian, kita asyik merungut.

Kita asyik menuding jari kepada Allah, sedang Allah telah pun memujuk kita dengan ayat-ayat cintaNya :
Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,

(Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.
(Al-Insyirah : 5-6)

Terkadang ada manusia yang jadi malas beribadat, tidak lagi percaya kepada Allah. Sedang Allah setia menunggu, rintihan dan doa dari hamba yang amat dirinduiNya..

Sahabat,
Dahulu, seorang sahabat Nabi, ketika ujian tidak ditimpakan kepadanya, dia berasa gundah dan sedih, soalan yang sama diulang-ulang : Apakah Allah telah lupa kepadaku?

Sekarang sahabat,
Allah menguji tidaklah sehebat ujian yang ditimpakan kepada ummat terdahulu.
Kita tidak ditimpakan ujian sehebat Zainab puteri Rasulullah yang terpaksa memilih antara suami yang masih jahiliyyah atau ayah tercinta.
Kita tidak ditimpakan ujian sehebat Sumayyah yang seisi keluarganya dibunuh di hadapan mata.
Kita tidak ditimpakan ujian sehebat Bilal bin Rabah, dijemur, diseksa, dihempap batu.

Sahabat,
Allah sungguh kasih kepada kita. Tapi berbalaskah kasih itu?
Jangan Menyalahkan Takdir
Ada orang, yang usahanya sedikit, dan bila datang sesuatu yang tidak memuaskan, dia berkata : Ini adalah takdir.

Sahabat,
Kata-kata begitu hakikatnya seolah-olah kita menyalahkan takdir. Sesuatu yang belum berlaku tidak dinamakan takdir, bahkan kita masih ada peluang untuk mengubahnya.
Jika semuanya mahu bergantung kepada takdir, maka orang jahat tidak akan berubah menjadi baik kerana takdirnya sudah jahat.
orang miskin tidak perlu berusaha mencari duit, kerana takdirnya sudah miskin.
Pelajar corot tidak perlu belajar kerana takdirnya sudah corot.
Begitukah?

Mari kita baca satu cerita :

Ketika wabak penyakit berlaku di Syam, Umar Al-Khattab telah bermesyuarat dan mengambil keputusan untuk tidak memasuki Syam.
Ada yang bertanya : Adakah engkau melarikan diri daripada Qadar Allah wahai Amirul Mukminin?
Beliau menjawab : ya, kita lari daripada Qadar Allah kepada Qadar Allah. Apa pendapat kamu jika kamu berada di atas dua jenis tanah iaitu yang subur dan kering. Bukankah jika kamu usahakan yang subur, kamu mengusahakannya dengan Qadar Allah dan jika kamu ushakan yang kering, kamu mengusahakannya dengan Qadar Allah juga?

Nak dengar cerita lagi?

Suatu ketika, seorang lelaki telah kalah dalam satu perbahasan dan berkata "Allah telah menentukan bahagianku."
Nabi SAW memarahinya kerana berkata demikian.Lahiriahnya kata-kata itu menggambarkan iman tetapi hakikatnya menampakkan kelemahan.
Sabda baginda:
"Allah membenci orang yang lemah, tetapi apabila tewas dalam suatu urusan kamu berkata: Bahagianku telah ditentukan oleh Allah."

Berusaha dan berusahalah dengan bersungguh, pilihlah takdir yang kita mahu... sehingga di pengakhiran usaha, ada sesuatu yang kita dapat setelah berusaha, barulah berkata : inilah yang telah ditentukan Allah buatku.

Tanya pada diri, apa usaha kita, dan jangan asyik berkata "Ala,dah takdir.."
Jadilah kuat. Islam itu hebat, maka mari jadi hebat untuk Islam.

Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.
(Ar-Ra'd :11)

Berimanlah kepada Qada' dan Qadar Allah ; berusaha dengan apa yang kamu termampu dan berserah dengan kekuasaan Allah. Bekerjalah tanpa putus asa.
Jernihkan fikrah kita. Islam itu amaaaatttt Indah.


Berusaha!
Fighting!
Tatkala hujan yang lebat itu telah pergi,
Pelangi memuncul diri,

Dan manusia,
Terus merungut mengenangkan hujan yang telah pun berlalu..
LA TAHZAN INNALLAHAMAANA.

Wednesday 23 May 2012

WARKAH BUAT SAHABAT


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...

Terima kasih sahabatku untuk segalanya. Memang benar kata hatiku, kau hanya tetamu hatiku yang datang dan pergi begitu sahaja.

Maaf andai kata aku tersilap mencongak pada nilai kejujuran dan berterus terang. Sesungguhnya kau lah sahabat yang menunjuk jalan padaku tanpa sedarmu. Duhai sahabatku, dunia kita memang berbeza tetapi hidup kita seakan sama.


Kita mencintai ilmu dan itulah yang mendekatkan hatiku padamu. Aku dambakan perubahan positif dalam diri ini dan kita seiring sejalan mula berubah menjadi lebih baik. Perubahan inilah yang dituntut kerana tiada manusia yang sempurna hidupnya. Kehidupan sederhana dan dilingkumi ukhuwah yang terbina menjadikan hidup sangat bermakna.

Terima kasih kerana menyedarkan hakikat silaturahim itu. Malah kebahagiaan yang dicari sebenarnya tergumpal dalam hati melalui keimanan. Iman yang memberikan sumber inspirasi untuk menjadi hamba-Nya yang bersyukur dan tidak putus asa. Jika iman yang setipis kulit bawang ini tidak dijaga mungkin setiap insan akan tersasar dalam hidup hingga jauh daripada keberkatan Ilahi.

Jalinan ukhuwahmu membuatkan aku teringat pada bait-bait ayat ini.

"Duhai wanita, jagalah pandanganmu dan tundukkanlah hatimu dengan rasa keimanan yang teguh kepada Allah swt. Janganlah kau menyalahkan takdir atas perkara yang kau tidak sukai namun sebaliknya bersangka baiklah pada Tuhan sekalian alam. Mungkin apa yang disukai olehmu tidak menjanjikan kebaikan padamu dan mungkin yang kau tidak sukai itulah yang menjadi perkara terbaik bagimu."

Dua dunia yang berbeza diikat dengan satu kata, UKHUWAH atau persaudaraan Islam. Ada mulanya dan tiada penghujungnya, seperti seutas tasbih yang diikat kerana kasih sayang dan diratib demi mencapai redhaNya. Itulah kata-kata azimat yang akan ku pegang selamanya. Ukhuwah yang didasari kerana Allah s.w.t akan menjadi suatu ukuran terbaik dalam perhubungan. Maka aku berharap persaudaraan sesama Islam akan terus mekar tanpa henti. Hal ini sangat bersesuaian dengan penjelasan nabi junjungan kita Nabi Muhammad saw iaitu :

"Di sekeliling Arsy terdapat mimbar-mimbar dari cahaya yang ditempati oleh suatu kaum yang berpakaian dan berwajah (cemerlang) pula. Mereka bukanlah para nabi atau syuhada, tetapi nabi dan syuhada merasa iri terhadap mereka."

Para sahabat berkata, "Wahai Rasulullah, beritahukanlah kepada kami tentang mereka." Baginda menjawab, "Mereka adalah orang-orang yang saling mencintai, bersahabat, dan saling mengunjungi kerana Allah swt." (HR Nasa'i dari Abu Hurairah Radiallahu 'anhu)

Dengan itu walaupun kita sudah semakin jauh mengorak langkah menuju destinasi berlainan, aku akan tetap menganggap dirimu sebagai sahabat terbaikku.

Akhir kata, andai kita bertemu lagi, janganlah kau kenang perkara yang tidak baik tentang aku tetapi kenanglah perkara yang indah tentang kita. Apabila kita mulakan hidup baru, itu tidak bermakna memori lama akan terhapus tetapi ianya akan menjadi sebahagian kehidupan kita yang hakiki. Hakikat sebuah pertemuan yang manis dan akan kekal begitu.

Apapun terima kasih Ya Allah kerana menemukan aku dengan dia walaupun seketika. Selamat tinggal sahabat. Moga kau menemui pencarianmu...

KEHILANGAN

ASSALAMUALAIKUM..



 Dalam mengharungi perjalanan hidup di dunia ini, pasti ada cabaran serta dugaan yang harus kita hadapi.. Ujian kehilangan harta benda, ahli keluarga serta para sahabat merupakan antara ujian yang sangat berat untuk ditanggung, apatah lagi jika tiada sesiapa di sisi untuk sama-sama menemani kita menempuh ujian ini..

Bagi orang yang beriman, kehilangan sesuatu yang disayangi merupakan sesuatu yang akan diberikan ganjaran yang besar, lebih-lebih lagi jika ianya disertai dengan sabar dan redha..


Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 155 hingga 157 menerangkan perihal mereka ketika mana ditimpa ujian seperti ini.. Kalimah "Innaa lillahi wa innaa ilaihi raaji'uun" menjadi pengubat hati mereka.. Tidak hairanlah jika Allah menjanjikan kepada mereka selawat dan rahmat serta menyifatkan mereka sebagai orang yang mendapat petunjuk..

Namun ini bukanlah bererti penghujung hidup buat individu yang beriman akan kewujudan hari akhirat.. Mereka yakin, jika bahagian mereka dikurangkan di dunia, mereka pasti akan dilebihkan ganjaran di akhirat kelak..

Tidak seperti orang yang tidak beriman yang merasakan ianya adalah titik penamat kepada kehidupan di dunia.. Hati mereka akan memberontak dan membenci seluruh kehidupan mereka serta menganggapnya sebagai sia-sia.. Sebagai natijahnya, kehidupan mereka akan dilalui dengan melakukan perkara-perkara yang terkutuk, dan lebih parah lagi jika diakhiri dengan perbuatan bunuh diri..

"Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, Kami (Allah) akan tempatkan mereka dalam mahligai-mahligai di syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya. Itulah balasan sebaik-baiknya bagi orang-orang yang beramal soleh itu". (S. Al-Ankabuut: 58).

Untungnya orang beriman.. Sehingga Nabi pun takjub dengan perihal orang mukmin.. "Aku takjub dengan perihal orang yang beriman.. Semuanya ada kebaikan.. Tidak ada suatu kebaikan pun kecuali ianya untuk orang yang beriman.. Apabila diberikan sesuatu nikmat, dia akan bersyukur.. Maka itu baik baginya.. Apabila diuji dengan suatu ujian, dia akan bersabar.. Maka itu juga baik baginya.." Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Muslim.

Doa dan zikir.. Itulah pengubat hati mukmin dikala lara.. Allah akan bersama orang mukmin yang sabar dan redha.. Kehilangan sesuatu yang disayangi sedikit pun tidak memberi kesan kepada iman mereka terhadap Allah.. Malah kadangkala bertambah-tambah pula iman dan taqwanya.. Baginya harta di dunia ini terlalu sedikit dan tidak bernilai jika hendak dibandingkan dengan nikmat di akhirat kelak..

Segala khazanah langit dan bumi ini milik Allah.. Dia mengurniakan kepada sesiapa yang dikehendakinya dan merampas semula dari siapa yang dikehendakinya.. Jika orang kafir di muka bumi ini pun diberi kekayaan yang melimpah ruah, apatah lagi hamba-Nya yang beriman dan bersabar atas ujian-Nya..

Tidak mustahil bagi Allah untuk menggantikan kehilangan harta kita dengan perkara yang lebih baik dan lebih besar nilainya.. Cuma yang menjadi misteri sekarang adalah bilakah waktunya.. Sama ada di dunia yang bersifat sementara ini, ataupun di akhirat yang tiada penghujungnya nanti.. Sebagai individu yang cerdik, pertimbangkanlah.. Mana satukah yang lebih menguntungkan =)


Wahai mukmin.. Bersabarlah.. Tenangkanlah diri.. Pupuklah sifat redha di hati.. Semoga Allah beri kita kekuatan diri dan ketabahan jiwa dalam menelusuri rasa kehambaan sepanjang perjalanan hidup ini.. Semoga bermanfaat..

Wassalam.

Tuesday 22 May 2012

MAKNA SEBUAH KEJAYAAN


ASSALAMUALAIKUM..BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM



Sahabat sekalian,
Tergerak hati saya ingin menceritakan satu perkara yang saya rasa harus ada pada semua induvidu. dan ianya mengenai Kejayaan.
Kejayaan adalah sesuatu yang amat subjektif, dan ianya membawa banyak makna yang berlainan kepada orang lain.

Ada yang menyangkakan bahawa mereka mendapat kejayaan ini adalah kerana mereka berusaha dan dengan penat lelah dan juga kerja teruk merekalah yang mereka berjaya. hmmmmm.

Walaupun kerja keras itu adalah sesuatu yang mesti dilakukan dalam emncapai kejayaan, tetapi tanpa kasihan ALLAH, maka tak kana berjaya walau setakat mana kerasa sekalipun kita bekerja. Kita harus melakukan apa yang harus dilakukan dan kejayaan adalah hak Allah.

Allah saja yang memberikan kejayaan, dengan izin Allah ini lah maka seseorang itu boleh berjaya. Jadi kejayaan itu sebenarnya adalah milik Allah dan bukan milik kita. Kita dipilih oleh Allah untuk diberikan kejayaan tersebut. Dan ini sebenarnya tanggungjawab yang diberikan oleh Allah untuk kita gunakan kejayaan ini untuk menambah nilai kepada orang lain .

Sekiranya anda diberikan kejayaan dalam apa jua perkara maka pertama sekali anda harus faham kejayaan itu bukan milik anda sebaliknya milik ALLAH, dan anda hanya di berikan kejayaan itu supaya dengan kejayaan itu anda boleh membantu orang lain untuk juga berjaya.

Jadi, bagi saya kejayaan adalah satu pemberian kepada orang yang dipilih mengikut usaha mereka , dan dipertanggungjawabkan untuk membantu orang lain juga berjaya.

Jadi jika seseorang itu angkuh dan riak akan kejayaan, maka dia tidak faham akan kebenaran sebenar kejayaan ini. Fikir-fikirkan lah, Semua orang boleh berjaya dan sebenarnya semua orang dilahirkan sebagai orang yang berjaya.

                "BIARPUN SERIBU KAPAL TENGGELAM DI TENGAH LAUTAN,
                          NAMUN CITA-CITA MENUSIA TIDAK PERNAH PADAM."
                                                                                                         -Hamka

Sekadar ingatan untuk diri saya sendiri dan juga sahabat-sahabat sekalian.
SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN AKHIR SEMESTER..SEMOGA KEJAYAAN MILIK KITA SEMUA..

Monday 21 May 2012

DUNIA INI TERLALU KECIL UNTUK DITANGISI


ASSALAMUALAIKUM..BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM.

Pernahkah sahabat-sahabat berasa sedih..pernah bukan? Begitu juga dengan diri penulis.Tidak dinafikan semua orang akan pernah merasainya cuma tahap kesedihan itu berbeza mengikut setiap manusia.Kesedihan adalah satu fitrah yang Allah ciptakan kepada hambaNya.

Kadangkala kesedihan mampu membuat kita kembali kepadaNya, dan kadangkala juga kesedihan membawa kita jauh darinNya. Semuanya berlaku kerana izin Allah Ya Rabbul Izzati. Maka kemanakah tempat terbaik untuk kita mencurahkan kesedihan agar ia tidak menjadi perkara yang sia-sia?

Acap kali, manusia itu bersedih kerana perkara duniawi semata-mata. Apabila kita gagal dalam peperikasaan kita akan bersedih. Ketika putus cinta dengan sang kekasih kita akan bersedih. Hatta apabila kita kehilangan sesuatu yang kita sayangi, kita juga pasti akan bersedih. Persoalannya, wajarkah untuk kita bersedih semata-mata perkara dunia yang kelihatan besar di mata kita, sebenarnya terlalu kecil disisi Allah Azzawajalla.

Dalam sebuah Hadith Sahih disebutkan:

Seandainya nilai dunia ini disisi Allah sama nilainya dengan sayap seekor nyamuk, nescaya Allah tidak akan memberi mnum kepada orang kafir walau seteguk air pun.

Menurut Allah, dunia lebih tidak berharga dari sayap seekor nyamuk. Maka inilah hakikat sebenar nilai dan timbangan dunia ini disisi Allah. Lalu atas alasan apa untuk kita bersedih dan gelisah kerana hal dunia semata-mata?

Sheikhul Islam Ibnu Taimiyyah seorang ulama yang sangat masyur pernah mengatakan bahawa:

Mengingati Allah itu ibarat air kepada ikan,lihat keadaan ikan apabila berjauhan tanpa air.
dan Ibnu Qayyim Al Jauziyyah juga pernah mengatakan bahawa:

Di dalam hati manusia ada kesedihan dan tidak akan hilang kecuali gembira mengenali Allah

Sakinah atau kebahagian adalah apabila anda merasa aman atas diri sendiri masa depan, keluarga dan kehidupan anda sendiri. Dan semua ini terhimpun dalam keimanan, redha terhadapa qadha' dan qadhar serta diiringi oleh sifat qana'ah dan sabar.

Oleh itu kita harus kembali kepada hakikat hidup yang sebenar, jadikanlah kesedihan itu sebagai ruang untuk kita meraih pahala daripadaNya dan bukannya kita lemparkan dan luahkan segala kesedihan kita semata-mata kerana dunia, kerana dunia ini terlalu kecil untuk ditangisi.


Wahai Sahabatku,
 LA TAHZAN.INNALLAHAMAANA.

Saturday 19 May 2012

Hakikat Bila Kecewa Dalam Bercinta

ASSALAMUALAIKUM..

 
Kecewa dalam bercinta? Pasrah ? atau apa jua yang sama erti dengannya.. Mungkin situasi atau keadaan ini pernah sahabat-sahabat alami bukan? Ada yang kecewa perit pedihnya hati..ada juga yang biasa-biasa saja.. Itu bergantung pada diri masing-masing.

Sahabat sekalian, hidup ini kadangkala memerlukan kita dalam membuat sesuatu pilihan. Bukan secara paksaan, tapi dalam menghadapi kekangan hidup di hari yang mendatang.
Orang yang paling boleh menyakitkan hati kita ialah dia yang pernah paling kita cintai.  Ramai orang yang hancur hidupnya kerana putus cinta. Terlupakah pesan bijak pandai:

“Cintailah sesuatu itu sekadar saja, berkemungkinan ia akan menjadi kebencianmu pada suatu ketika, bencilah yang engkau benci itu sekadar saja, berkemungkinan ia akan menjadi kecintaanmu pada satu ketika.”

Putus cinta adalah bukti bahawa tidak ada cinta sejati kecuali cinta yang diasaskan oleh cinta Allah. Cubalah anda fikirkan, apakah punca pihak sana atau pihak sini memutuskan cintanya? Mungkin kerana hadirnya orang ketiga? Mungkin dihalang oleh orang tua? Mungkin kerana sudah jemu? Macam-macam alasan diberikan. Ketika itu lupa segala sumpah setia, akujanji, lafaz janji yang dimetrai sewaktu sedang ‘syok’ bercinta. Hingga dengan itu mereka yang dikecewakan seolah-olah tidak pernah mengenal orang yang dicintai itu. Dia benar-benar berbeza (seolah-olah dia tidak pernah kita kenali!).

Putus cinta bukanlah pengakhiran segalanya. Ia adalah satu permulaan yang baik jika ditangani dengan positif. Memanglah di awalnya kita rasa sukar menerima hakikat. Tetapi percayalah… kita tetap ada Allah. Semuanya dari Allah. Dan segala yang datang dari Allah ada baik belaka, walaupun belum terserlah kebaikannya pada pandangan kita. Namun yakinlah, pandangan kita terbatas, pandangan Allah Maha Luas. Sesuatu yang kita cintai, belum tentu membawa kebaikan kepada kita. Manakala sesuatu yang kita benci, belum tentu memudaratkan kita.


Sebagai hamba Allah, renungilah maksud firman Allah dalam surah Al Baqarah,  

” Ada sesuatu perkara yang kamu cintai tetapi itu membawa keburukan kepada kamu. Ada pula sesuatu perkara yang kamu benci tetapi sebaliknya ia membawa kebaikan kepada kamu. Sedarlah kamu tidak mengetahui, Allah-lah yang lebih mengetahui.” 

Kita inginkan orang yang kita cintai itu terus setia bersama kita. Biar sampai menempuh alam perkahwinan, beranak cucu hingga ke akhir hayat. Segala kata pengukuhan telah diberikan. Kesedaran tentang hukum Sunnahtullah ini akan memberi ketenangan dalam hidup. Apabila kita ditimpa kesusahan, rasakan dalam hati… ya, selepas ini akan datang kesenangan. Sabarlah sebentar. Dan apabila datang kesenangan, kita tetap tidak alpa… ya, selepas ini akan datang kesusahan. Bersiap-sedialah. Hakikatnya, tidak ada kesenangan dan kesusahan yang abadi di dunia ini. Kehidupan adalah satu pergiliran antara senang dan susah yang berterusan…

Cabaran kita bukan untuk mengawal perubahan ‘cuaca’ kehidupan itu tetapi mengubah diri bagi menyesuaikan diri dalam setiap keadaan yang berubah-ubah itu. Fahamilah hakikat ini. Apabila kita frust dalam bercinta terimalah bahawa itu adalah hakikat hidup. Hidup bukanlah yang serba kena, serba senang dan serba mudah. Hidup tidak selalu indah, kerana di situlah keindahan hidup!

Cuma satu sahaja pendapat daripada saya. Kadangkala di cintai lebih mudah dari mencintai. Kerana mencintai memerlukan segenap tubuh dalam pengorbanan dan kesakitan. Daripada di cintai hanya perlu mendepa tangan menerima dengan hati yang terbuka bersama doa dan redha.Titik.


Saya bukanlah pakar cinta atau 'Dr cinta'. Itu hanya hakikat kehidupan yang perlu kita tahu sebenarnya.Itu sahaja yang mampu di beri sebagai perkongsian kali ini. Teruskan melangkah. Jangan tegak berdiri menanti cinta sahaja. Hidup ini untuk beramal kepada-Nya bukan berdiri menanti cinta dunia.




Sematkan di hati kata pujangga ini: 
Sesungguhnya orang yang berkali-kali gagal bercinta, pada suatu saat akan bertemu jua…cinta sejati yang ditunggunya!INSYAALLAH”

Buat seorang sahabat baikku..ku doakan semoga ALLAH mempertemukan jodohmu dengan wanita solehah. Amin.


Sekian , Wassalam.

Friday 18 May 2012

MENGHARGAI SEBUAH UJIAN..



Segala puji bagi Allah SWT di atas nikmat-Nya yang dipinjamkan kepada kita.  Selawat dan salam bagi baginda Rasulullah SAW sebagai rahmat bagi seluruh alam. Tidak lupa juga buat para keluarganya, sahabat-sahabatnya. Syukur ke hadrat ilahi diberi kekuatan pada ana untuk berpeluang mencoretkan satu lagi perkongsian dengan sahabat-sahabat sekalian.

Hidup ini penuh dengan ujian yang telah ditetapkan oleh Allah SWT kepada hamba-hamba yang dikehendakinya. Kali ini ana mahu kongsikan bagaimana kita mengawal hati ketika kita diundang pelbagai dugaan. Pedih sunggih hati ini ketika kita dilanda ujian yang tidak diduga pilu sungguh jiwa ini merintih sedih mengenang diri yang dirundung malang.

Air mata hati ini berjuraian jatuh mengiringi sedih perasaan yang tidak tertanggung bebannya lagi. Sedih yang dialami tidak dapat diucap dengan kata-kata. Jika diluahkan kepada manusia dengan seribu daya pun pasti hanya mereka mampu menadah telinga dan melontarkan buah rasa buat pemujuk jiwa yang kering ketandusan. Hanya diri ini yang mengerti. Namun Allah SWT berjuta kali lebih memahami dan mendalami isi hati ini berbanding diri ini sendiri.

Namun mengapa sukar untuk memujuk diri ini, tika ditimpa ujian begini. Pemilik hati kerdil ini payah untuk terus pasrah dan reda berbanding pantas sahaja berputus asa dan lebih rela melayan sebak di dada. Dalam islam kita sepatutnya memahami disebalik ujian ada hikmah yang terselindung. Hikmah itu perlu dicari  baru ditemui manisnya ujian yang menimpa. Namun ujian yang menjengah sering dianggap pengusut jiwa bukan tanda sayang daripada ilahi.

Akal yang dangkal sering menggambarkan ujian itu sebuah derita. Sebab itu ujian yang tiba  umpama langit menghempap kepala. Malang sungguh jiwa ini kerana tidak mengenal pencipta.  Kita sering lupa apa yang ditakdirkan Allah pasti ada baiknya. Itu janji Allah. Janji Allah tidak mungkin dusta.

Seperti sesebuah produk, jika ingin diketahui mutunya harus diuji sebelum ia selamat untuk digunakan. Produk itu perlu melalui ujian menepati piawaian yang ditetapkan. Begitulah insan. Kehidupan kita mempunyai syariat dan piawaian yang perlu ditepati barulah terhasilnya Mukmin Sejati.! Jika tidak melepasi piawaian ujian, jadilah Muslim itu sebuah produk yang tidak bermutu dan tidak tahan lasak. Justeru Mukmin Sejati harus diuji.!


Seperti Rasulullah s.a.w liku-liku hidupnya dipenuhi ujian. Pada masa yang sama Allah begitu cinta kepada Baginda sehingga dinobatkan sebagai kekasih Allah . Masya Allah! Sebab itulah ujian bukan tanda benci dan nista tetapi tanda cinta. Ia kayu ukur keimanan seorang muslim. Yakinlah ! Mukmin yang sejati selalu bersyukur apabila ditimpa kesusahan dan bersabar apabila ditimpa kemudaratan.


Mutiara kata untuk sahabat-sahabat ku :-
Musibah yang harus ditakuti oleh manusia di dunia boleh diringkaskan menjadi lima. Pertama, sakit ketika mengembara, kedua miskin ketika tua, ketiga maut pada usia muda, keempat buta setelah melihat, kelima dilupakan orang yang disanjungi.