Wednesday 26 September 2012

BERPISAHNYA INSAN " BERCOUPLE "


"Aku memang sangat mencintainya. Tapi aku terpaksa clash dengan dia.."

"Kenapa pulak?"

"Sebab aku selalu ingat dia sampai aku selalu lupa Allah."

Pergh.. terbaiklah bro! Alhamdulillah..

Beruntung siapa dapat kekasih sepertinya. Bayangkanlah.. Tentu dia sudah dapat merasai penangan cinta daripada Allah sehingga sanggup untuk berpisah dengan insan yang selalu disayanginya dengan cara yang salah.

Ya.. begitulah.. Memilih untuk berpisah kerana Allah adalah keputusan yang sangat bijak. Itulah pilihan iman sebenarnya. Apabila menyedari diri sering terjebak dengan dosa ketika ber'couple', iman yang ada dalam diri pasti akan menegur. Sangat terbaik orang yang sanggup menerima teguran daripada iman itu.

~Cepat-cepatlah terima teguran iman di hati sebelum nafsu mengambil alih.

Sememangnya terbaik. Itulah keputusan yang membawa manfaat buat dirinya dan kekasihnya. Bercintalah. Tapi buatlah keputusan untuk tidak ber'couple'. Selepas keputusan itu dibuat, akan berkurang atau tiada lagi episod-episod berpegangan tangan, bersentuh-sentuhan, bermanja-manjaan, membuang masa bersama, tinggalkan solat bersama, dan macam-macam lagi yang tidak sepatutnya berlaku sebelum kahwin. Masing-masing terhindar daripada maksiat dan dosa.

Itu barulah 'saling menyayangi' namanya. Mahu berpegangan tangan hingga ke Syurga atau ke Neraka? Tiada siapa yang mahu bersama ke Neraka bukan? Namun siapa yang betul-betul mahu bersama hingga ke Syurga?


Kadang-kadang kita merasakan nikmat ber'couple' itu terlalu indah. Lalu kita suka. Tapi sebenarnya itu hanya sangkaan. Mainan nafsu. Direct to the point, ber'couple' (sebelum nikah) tidak baik untuk kita. Sebab itu Allah mengizinkan berlakunya 'kehilangan' atau perpisahan. Kerana 'kehilangan' atau perpisahan yang kita tidak suka itu sebenarnya baik untuk kita.

Allah 'Azza Wa Jalla berfirman;

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagi kamu.Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui"
(Surah al-Baqarah ayat 216)

"biarlah kita kehilangan si dia kerana Allah. Jangan kita kehilangan Allah kerana si dia."

Sahabat-sahabat semua.. Marilah sama-sama kita renungkan... Belum tentu pasangan kita itu adalah suami kita atau isteri kita. Kita 'bercouple' bagai nak rak, tiap malam bergayut dengan suara manja tanpa kita menyedarinya, waktu pagi bertemu berkepit ke hulu dan ke hilir tanpa rasa bersalah, semuanya hanya keindahan yang sementara.

Jika pasangan kita itu ditaqdirkan menjadi suami atau isteri kita, keindahan yang selalu kita nikmati di fasa sebelum pernikahan semakin suram. Jika dulu hampir setiap hari bertemu, namun setelah berada di alam pernikahan pandang pun menjadi jemu. Segala keindahan alam perkahwinan yang sepatutnya dinikmati di fasa tersebut turut hambar kerana sudah pun dirasai sebelum akad termeterai. Tiada lagi kejutan mahupun 'suprise' yang membahagiakan kerana hampir kesemua telah kita hadam dan menjadi perkara biasa kepada kita.

Kesimpulannya, serahkan lah hati kita kepada Allah. Simpankan rasa itu semata-mata hanya untuk Allah SAW. Biarkan Allah temukan hati yang mencintai Allah itu dengan hati yang lain, yang mana hati itu juga turut mencintai Allah. Yakinlah, jika kita menghiaskan hati ini dengan cinta Allah, pasti cinta yang hadir itu sentiasa mekar dan tidak akan layu. Malah cinta itu pasti kekal sentiasa kerana sandarannya juga adalah Zat yang Maha Kekal.


Marilah kita hayati dan amalkan doa ini. Semoga Doa Nabi Daud A.s ini memberi kita semangat dan teguh dalam mencinta Allah SAW sepenuh hati kita melebihi cinta kepada makhlukNya.

" Ya Allah, kurniakanlah daku perasaan cinta kepada-Mu, Dan cinta kepada orang yang mengasihi-Mu, Dan apa sahaja yang membawa daku menghampiri cinta-Mu. Jadikanlah cinta-Mu itu lebih aku hargai daripada air sejuk bagi orang yang kehausan, Ya Allah, sesungguhnya aku memohon cinta-Mu, Dan cinta orang yang mencintai-Mu serta cinta yang dapat mendekatkan aku kepada cintaMu,

Ya Allah, apa sahaja yang Engkau anugerahkan kepadaku daripada apa yang aku cintai, Maka jadikanlah ia kekuatan untukku mencintai apa yang Engkau cintai. Dan apa sahaja yang Engkau singkirkan daripada apa yang aku cintai, Maka jadikanlah ia keredaan untukku dalam mencintai apa yang Engkau cintai, Ya Allah, jadikanlah cinta-Mu sesuatu yang paling aku cintai daripada cintaku kepada keluargaku, hartaku dan air sejuk pada saat kehausan.

 Ya Allah, jadikanlah aku mencintai-Mu, mencintai malaikat-Mu, Rasul-Mu dan hamba-Mu yang soleh, Ya Allah, hidupkanlah hatiku dengan cinta-Mu dan jadikanlah aku bagi-Mu seperti apa yang Engkau cintai, Ya Allah, jadikanlah aku mencintai-Mu dengan segenap cintaku dan seluruh usahaku demi keredhaan-Mu.

(Hadis riwayat At-Tarmizi, Rasulullah SAW bersabda, "Inilah doa yang biasa dipanjatkan oleh Nabi Daud a.s"

Wallahu Ta'ala A'lam


Sunday 23 September 2012

Cinta itu fitrah bagi manusia.


Cinta itu fitrah bagi manusia... Namun, hati-hati memilih dan menyusun cinta. Jangan tersalah menyemai cinta pada yang fana'... Cinta yang hakiki pada Yang Baqa'... Jangan jadi hamba cinta yang sementara... Dengarkan hikayat ini yang penuh bererti...



Setelah burung Hud-hud selesai bercerita, burung-burung yang lain mula bersemangat membahas kebesaran Sang Raja dan dipenuhi kerinduan untuk menerimanya sebagai penguasa mereka. Semuanya tidak sabar untuk segera berangkat. Mereka memutuskan untuk pergi bersama; masing-masing ingin menjadi sahabat yang lainnya dan menjadi musuh untuk dirinya. Tetapi, ketika mereka menyedari betapa jauhnya perjalanan dan betapa beratnya menempuh perjalanan itu, mereka mula ragu-ragu.


WaIaupun setiap burung sudah berniat untuk menempuh perjalanan, masing-masing mengajukan keberatan. Burung bulbul yang sedang kesamaran, maju ke hadapan dengan penuh perasaan. Dia mencurahkan gelora hatinya pada ribuan nada lagu-lagunya. Pada setiap nada ada satu aIam rahsia. Ketika dia menyanyikan seluruh misteri ini, burung-burung menjadi bungkam, “Rahsia cinta sudah aku ketahui.” katanya. “Sepanjang malam, aku ulang lagu-lagu cintaku. Tidak adakah Daud yang malang supaya aku dendangkan baginya mazmur cinta yang penuh kerinduan?"


Rintihan seruling yang manis terjadi keranaku, begitu pula jeritan suara biola. Ku ciptakan goncangan antara bunga mawar dan juga hati para pencinta. Selalu ku ajarkan misteri baru. Setiap saat aku ulangi lagu-lagu derita yang baru. Ketika cinta menguasai jiwaku, nyanyianku seperti lautan yang menderu. Sesiapa sahaja yang mendengarku, meninggalkan akal sihatnya walaupun dia termasuk orang bijak.


Jika aku berpisah dari Mawar kesayanganku, aku berdukacita. Ku hentikan nyanyianku dan tidak ku ceritakan rahsiaku kepada sesiapa pun. Rahsiaku tidak diketahui oleh sesiapa pun, hanya Sang Mawar yang tahu dengan pasti. Begitu dalamnya aku mencintai Sang Mawar, aku tidak pernah lagi memikirkan wujudku sendiri. Aku hanya memikirkan Sang Mawar dengan putik sarinya.
Perjalanan menuju Simorgh di luar kemampuanku. Cinta Sang Mawar sudah cukup bagi burung bulbul. Untuk dakulah Sang Mawar berbunga dengan ratusan putiknya; apalagi yang aku inginkan Sang Mawar yang merekah hari ini penuh dengan kerinduan dan ia tersenyum bahagia buatku. Ketika ia menampakkan wajahnya di balik kelambu, aku tahu itu dilakukan untukku. Bagaimana mungkin Sang Bulbul melewatkan satu malam pun tanpa kecintaan pesona ini?”
 

Burung Hud-hud menjawab: “Wahai Bulbul yang terpesona oleh bentuk luar! Berhentilah dalam ke­bahagiaan kerana keterikatan kepada hal yang menipu. Kecintaan Sang Mawar mengandungi banyak duri: ia telah mengganggu dan menguasaimu. Walaupun Mawar itu indah, keindahannya akan segera hilang. Sesiapa sahaja yang mengejar kesempurnaan diri, tidak boleh menjadi hamba bagi cinta yang segera berlalu. Jika senyum bunga mawar membangkitkan ghairahmu, senyum itu akan mengisi siang malammu hanya dengan rintihan. Tinggalkan Mawar, kerana pada setiap musim bunga yang baru, ia mentertawakanmu. Setelah itu, ia tidak pernah tersenyum lagi. Malulah kamu pada dirimu!

Saturday 22 September 2012

ADAKAH DIA MILIKKU?



Persoalan yang seringkali timbul dalam hati setiap hamba Allah di muka bumi yang mendambakan cinta sesama manusia. Terkadang seribu usaha telah dilakukan dan tawakkal serta doa telah dilafazkan.Akan tetapi adakah hasilnya seperti ape yang diharapkan?

Sahabat,sedarlah bahawa usaha itu adalah satu kemestian yang dilakukan oleh setiap hamba Allah dimuka bumi kerana kita harus merancang akan tetapi Allah yang menentukan segalanya. Berapa ramai insan yang kecundang selepas usaha yang dilakukan tidak seperti apa yang dijangkakan?Bahkan ada yang memaling pada mentaati perintah Allah setelah kecewa dengan pengakhiran suatu usaha itu.

Sahabat, sedarlah bahawa Allah itu Maha kaya dan Maha mengetahui setiap hati hamba-hambanya.Ketentuan dariNya adalah yang terbaik untuk hamba-hambanya dan kita haruslah redha dengan ketentuanNya kerana ini adalah seiring dengan rukun iman keenam yakni percaya pada qadha dan qadar. Tidak redha dengan ketentuanNya bermakna tidak percaya pada rukun iman keenam.

Jadikanlah Al-quran itu sebagai panduan. Sunnah menjadi ikutan. Solat hajat menjadi tempat mengadu luahan perasaan. Istikharah sebagai penghubung hati pada tuhan agar diberikan jalan dalam membuat pilihan. Indahnya Islam dalam mengajar umat islam untuk mencari jodoh yang baik.

Sahabat,berusahalah untuk mencari cinta sejati dengan sentiasa berusaha dan berdoa kepadaNya. Jangan pernah putus asa dalam usaha. Ujian Allah dalam meniti suatu perjalanan mencari cinta sangatlah berat kerana Allah inginkan hamba-hambaNya meminta-minta padaNya. Bersabarlah atas setiap ujian yang kita hadapi dengan tabah dan redha dengan ketentuanNya.

Jika pilihan kita bukan seperti yang kita harap dan dambakan, percayalah tidak akan sesekali akan rugi bagi mereka yang bermusyawarah dan beristikharah kepada Allah. Adakalanya pilihan manusia itu, walau baik pada pandangan mata manusia, tetapi hakikatnya penuh kemudharatan tanpa kita sangka. Sedangkan sesuatu yang kita rasakan kurang baik di mata manusia, rupanya penuh kebaikan padanya tanpa sedikit pun kita menyedarinya. Mungkin juga pada saat ini kita melihatnya sesuatu yang indah, namun kita tidak tahu ianya akan menjadi suram pada masa mendatang.



Demikianlah pilihan Allah... ianya adalah baik untuk kita, agama kita, dan baik untuk setiap keadaan dan waktu yang ada. Pengetahuan Allah mengatasi pengetahuan hamba-hambaNya, maka serahkan urusan jodoh itu pada Allah. Jangan dipeningkan kotak fikir kita memikirkan siapa jodoh kita. Jika ada jodoh, pasti tidak akan ke mana. Yang penting siapkan diri kita agar menjadi soleh dan solehah. Siapa jodoh kita adalah ditentukan oleh diri kita sendiri. Jika kita soleh, insyaAllah Dia akan temukan kita dengan yang solehah. Jika kita solehah, maka Allah akan temukan dengan yang soleh. Bukankah Allah telah berfirman, Lelaki yang baik itu untuk wanita yang baik. 
Maka Yakinlah!  Janji Allah itu pasti benar.

Jangan mudah lesu dengan istiqamah.Jangan mudah mengalah dengan ujian yang ada tetapi jadikan lah ujian itu  sebagai satu kekuatan pada kita untuk terus berusaha dalam mencari cinta sejati. Namun nilai suatu cinta itu janganlah dilandaskan dengan nafsu. Biarlah ianya diredhai ole Allah swt. Suatu cinta yang berlandaskan nafsu itu mengundang murka Allah.

Tepuk dada tanya fikiran kerana apa kita cintakan seseorang itu. Adakah kerana hartanya? kerana paras rupanya? atau kerana agamanya? Pujilah kaum hawa itu atas kecantikannya tetapi pujilah dengan niat semata-mata pujian atas keindahan ciptaan Allah. Pujian yang bersandarkan kebesaran dan keagungan yang menciptakannya. Dan janganlah memuji sehingga mengundang syirik padaNya.

InsyaAllah para sahabat yang membaca akan saya doakan juga supaya anda dipertemukan jodoh yang baik yang mampu membahagiakan anda bukan sahaja di dunia bahkan di syurga kelak. Amin

Friday 21 September 2012

Facebook !!.. Kebaikan atau Keburukan ?



ASSALAMUALAIKUM..

Facebook!!.. Antara kebaikan dan keburukan,?..bagi sahabat-sahabat sekalian bagaimana ?.. Tepuk dada tanya Iman..

Mungkin kita pernah terbaca dengan beberapa ungkapan yang tidak sepatutnya. Sebagai contoh, cuba lihat di wall facebook kita atau sahabat-sahabat yang lain.
" Hari ini saya keluar dating dengan bf saya"
"Seronoknya keluar ngan **** semalam kat mall, thanx!!!"
"Awak ni gatal la sayang ;-)"
"baby, bila lagi nak 'study' sama-sama?"
"awak cantik pakai baju itu, cun"

Dan pelbagai lagi contoh-contoh komen, yang tak sepatutnya. Kemudian, agak menyedihkan, apabila kita muat naik gambar, tanpa kita sedari, mendedahkan aurat kita sendiri, dan bergambar dengan pasangan bukan muhrim secara berpegangan tangan atau berpelukan.

Mungkin, kita tidak mempunyai apa-apa niat, malah rasa bersahaja apabila menulis komen-komen serta meletakkan gambar tersebut. Tapi sedarkah kita, kita telah membuka keaiban diri kita sendiri, dengan menghebahkan perkara tersebut kepada pengetahuan umum?

Menurut buku "Sabil An-Najat Min Syu-um Al-Ma'shiyat" atau "15 Kaedah Selamat Dari Maksiat", penulisan Muhammad bin Abdullah Al-Duwais, beliau ada menyatakan jangan hebah apabila berbuat maksiat. Terdapat beberapa nas agama yang boleh dikongsikan.
Bersumberkan dari Abu Hurairah Radhiyallahu 'anhu, ia berkata:

" Aku pernah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda: "Semua umatku diampuni kecuali orang-orang yang melakukan perbuatan maksiat secara terang-terangan. Salah satu contoh perbuatan maksiat ialah, seseorang melakukan suatu perbuatan pada malam hari, padahal Allah menutupinya, namun kemudian pada pagi harinya ia bercerita kepada orang lain: 'Hai polan, semalam aku melakukan ini dan itu." Sebenarnya ia tidur malam dengan ditutupi aibnya oleh Tuhannya, tetapi pagi harinya ia menyingkap sendiri tabir Allah itu darinya."
(riwayat Al-Bukhari(6069) dan Muslim(6990)

Malangnya bagi kita, apabila kita gagal mengawal hawa nafsu kita daripada melakukan maksiat. Nafsu tersebut dikenali sebagai Nafsu Ammarah. Nafsu jenis ini sering menjurus melakukan maksiat dan kejahatan, serta sering mengikut hawa nafsu dan tidak sesekali melawannya. Maksiat yang dilakukan terasa seronok dan lazat, malah berbangga dengannya. (sumber majalah Solusi isu 25)

Adakah kita gembira apabila tergolong dalam golongan-golongan tersebut? Sudahlah kita melakukan maksiat seperti berdua-duaan bukan muhrim, berpegangan tangan, dan pelbagai lagi maksiat yang kita lakukan, nauzubillah. Kemudian, kita menghebahkannya dalam laman web sosial, dan berbangga dengan perbuatan tersebut. Kita jadikan nafsu sebagai tuhan. MashaAllah.

"Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipatuhinya, dan ia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuiNya (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?."
(Surah al-Jatsiyah ayat 23)

Kita sering tertipu dengan godaan hawa nafsu. Sudahlah kita melakukan kemungkaran, malah menghebahkannya kepada umum. Di mana tempat kita di sisi Allah? Timbulkan persoalan dalam diri anda, jika anda melakukan sedemikian.


Justeru, sudah semestinya kita tidak mahu tergolong dalam golongan-golongan yang dimurkai Allah, bukan? Jadi, janganlah kita melakukan kemungkaran, seterusnya tiada apa yang perlu dihebahkan kepada umum, tentang perkara terkutuk tersebut, kan? Kawal hawa nafsu kita, jangan biar hawa nafsu mengawal kita.

Seorang mukmin yang mengaku berasa takut kepada Allah dan menganggapNya sebagai Tuhan Yang maha Agung, apabila suatu waktu terjerumus dalam suatu perbuatan maksiat dan melanggar apa yang tidak boleh dilakukan, seharusnya ia benci maksiat tersebut dan seboleh mungkin berusaha agar jangan sampai diketahui oleh sesiapa pun. Malah, jangan menceritakan kepada orang lain sehingga diketahui umum. Berehati-hatilah dengan setiap tindakan yang kita lakukan, terutamanya dalam laman web sosial, kerana kita mungkin membuka aib sendiri, tanpa kita sedar.

Tetapi, ingat sahabat-sahabatku! Ini bukannya kebenaran atau platform untuk kita melakukan maksiat! Maksiat tetap harus dijauhi, supaya tidak menimbulkan kemurkaan Allah. Bertaubat sebelum terlambat!


Wednesday 12 September 2012

ISTIQAMAH YANG SUKAR


ASSALAMUALAIKUM..
BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM..
Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah kerana kita masih diberi kekuatan dan nikmat hidup yang tiada bandingannya. Saya tertarik untuk berkongsi dengan sahabat sekalian tentang satu fenomena yang saban tahun berlaku.
Ingat lagi tak suasana ketika malam solat tarawih?
Alhamdulillah.. masjid penuh! Penuh dengan manusia.
Saat azan isya' berumandang, berpusu-pusu manusia datang untuk solat berjemaah. Terlalu ramai. Sehingga Ahli Jawatan Kuasa masjid terpaksa menyediakan beberapa buah khemah untuk menampung pertambahan ahli jemaah.
Jangan hairan, tempat letak kenderaan pun tidak cukup. Penuh. Mahu tidak mahu, ada yang terpaksa parking kereta jauh di bahu jalan.
Seronok juga rasanya melihat pasangan suami isteri yang berjalan seiringan bersama dengan anak-anak mereka. Ada yang datang dengan keluarga, dengan jiran, dengan kawan-kawan, tidak kurang juga yang datang seorang diri. Masing-masing bersemangat mahu mengimarahkan masjid.
Fuuhhh.. Suasana di masjid ketika itu cukup indah. Tua, muda, miskin dan kaya semuanya berhimpun di rumah Allah. Masing-masing bersalaman dan bertanya khabar sebelum dan selepas solat. Malah ramai juga yang mendapat kenalan baru.
                         


Allahuakbar.. Alangkah indahnya suasana itu. Terserlah kesatuan dan kekuatan umat Islam. Sebagai seorang muslim yang mengimpikan kembalinya kegemilangan Tamadun Islam zaman Khulafa' Ar-Rasyidin, sudah pasti akan tersentuh hati dan tersenyum melihat umat Islam datang memenuhi masjid. Ya.. Itu sudah pasti..
Namun.. sayang seribu kali sayang. Suasana itu hanya ada pada bulan Ramadan.
Kini? Pada bulan ini? Apa sudah jadi dengan masjid?
Sunyi.Sepi..
Ya.. masjid kembali sunyi. Hanya yang rajin pergi ke masjid sahaja yang perasan akan kekurangan ini. Tidak percaya? Datanglah ke masjid. Buka mata seluas-luasnya dan saksikan sendiri.
Cukup menyedihkan. Terharu rasanya. Hanya dua, tiga atau empat saf sahaja yang penuh. Itu kira OK lagi. Kadang-kadang satu saf pun belum tentu penuh. Lebih-lebih lagi pada waktu subuh. Adapun yang datang, kebanyakannya orang-orang tua. Orang muda entah ke mana.
Arghh.. mengapa begini? Mengapa masjid tidak lagi meriah selepas Ramadan?
Seolah-olah apabila tiba bulan Ramadan, masjid akan dipenuhi dengan longgokan emas. Lalu ramailah manusia datang berebut-rebut mahu mengambil emas itu. Apabila Ramadan sudah habis, emas di masjid pun turut habis. Maka tidak ramai lagi yang datang ke masjid.
Adakah begitu? Benarkah begitu sikap umat Islam sekarang?
Hanya beramal mengikut musim? Hanya beramal kerana ganjaran pahala yang berganda-ganda?
Aduhh.. jangan.. Mudah-mudahan diri kita bukan begitu..
Sedarlah bahawa Allah SWT sangat menggalakkan kita untuk solat berjemaah. Bukan sekadar solat berjemaah untuk solat sunat tarawih sahaja, bahkan untuk solat fardhu yang lain. Bukankah solat fardhu yang diwajibkan itu lebih utama berbanding solat sunat? Ya.. dan sudah pasti ganjaran bagi orang yang mengerjakan solat fardhu berjemaah tentu lebih besar disisi Allah.
Ramadan itu bulan tarbiyah. Bulan mendidik kita betapa solat berjemaah di Masjid itu sangat digalakkan dalam Islam. Dan berharap agar didikan itu sentiasa istiqamah walau di bulan berada di bulan lain. Bukan hanya sekadar memenuhi saf semasa di bulan Ramadan sahaja.

Kalau orang mukmin, peribadi mereka berbeza sedikit. Mereka tidak beramal kerana ganjaran pahala. Ganjaran banyak atau sikit, besar atau kecil, bagi mereka semua itu adalah bonus. Apa yang mereka kejar hanyalah cinta kasih dan redha daripada Allah.
Tapi.. ramai yang tidak mengerti. Belum memahami agaknya. Ramai yang merasa rugi terlepas solat sunat taraweh tetapi tidak pula merasa rugi terlepas solat fardhu berjemaah.
Sebenarnya, pelik juga apabila seseorang itu mampu untuk datang ke masjid melakukan solat sunat sebanyak lapan atau 20 rakaat tetapi tidak mampu untuk datang solat fardhu yang hanya 4 rakaat. Cuba fikir-fikirkan... Pelik bukan? Memang pelik..
Semasa bulan Ramadan kita ada masa untuk pergi ke masjid, tapi.. pada bulan-bulan yang lain, tiba-tiba pula tidak ada masa. Inipun pelik juga.. Mengapa begitu? Seakan-akan fungsi masjid hanya berjalan pada bulan Ramadan.
Masjid bukan di bina hanya khusus untuk solat tarawih sahaja. Tetapi masjid adalah pusat ibadah harian yang menghimpun hamba-hambaNya untuk sama-sama sujud kepadaNya tidak kira pada bulan Rejab, Sya'ban, Ramadhan, Syawal atau bulan-bulan lain.
Allah 'Azza Wa Jalla menyatakan;
"Dan laksanakalah solat, tunaikanlah zakat dan ruku'lah kamu bersama orang-orang yang ruku'"
(Surah al-Baqarah ayat 43)
Di mana tempat yang sesuai untuk umat Islam sama-sama ruku' kepadaNya? Tentulah di masjid.
Masjid bukan sebarang tampat. Selain untuk solat berjemaah, masjid juga merupakan tempat berkumpul bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat. Hebat bukan?
Masjid menjadi tempat berhimpun bagi orang-orang yang tidak takut kepada apa-apa selain kepada Allah. Masjid juga menjadi pusat berhimpun bagi orang-orang yang mengharapkan hidayah Allah.
Allah yang nyatakan sedemikian;
"Sesungguhnya yang memakmurkan masjid-masjid Allah hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada sesiapapun) selain kepada Allah. Maka mudah-mudahan mereka termasuk dalam golongan orang-orang yang mendapat hidayah." 
(Surah at-Taubah ayat 18)
Nampak? Cukup jelas bukan? Memang hebat peranan masjid. Sememangnya masjid adalah kilang untuk melahirkan insan-insan yang berkualiti di sisi Allah. Membentuk peribadi yang hebat di dunia, hebat juga di akhirat.
"Sampai macam tu sekali?"
Ya.. Belum cuba belum tahu. Kalau betul kita hendakkan kekuatan dan hidayah daripada Allah, rajin-rajinlah datang ke masjid. Solat berjemaah dan cuba makmurkan masjid bersama-sama. Gagahkan diri selalu. Jangan layan nafsu malas. Hadiri kuliah ilmiah yang dijalankan, dan rapatkan ukhwah sesama ahli jemaah. Sama-samalah kita istiqamah.
Yang paling penting, ajak ahli keluarga, sanak saudara, jiran tetangga dan rakan-rakan kita bagi mencintai dan merindui rumah Allah dengan mengimarahkannya. Jadikan suasana pada malam-malam Ramadan berlaku pada malam yang lain. Biar hati kita terikat dengan masjid. Mudah-mudahan kita berpeluang untuk mendapat naungan istimewa pada hari akhirat nanti sepertimana yang disebutkan oleh Rasulullah SAW;
"Tujuh golongan manusia yang akan diberi perlindungan oleh Allah dalam naunganNya pada hari yang tiada naungan melainkan perlindungan Allah itu sendiri iaitu: (antaranya) Pemuda yang sentiasa terpaut hatinya dengan masjid."
(Riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan Ibnu Majah)
Sahabat-sahabat semua.. Mahukah masuk dalam golongan yang bertuah itu?
Pasti mahu bukan? Saya Mahu.
Maka apabila azan berkumandang, berhentilah memegang tetikus. Berhentilah menatap skrin komputer, iPad atau iPhone. Berdiri kuatkan diri, dan terus melangkah ke masjid. Jangan lupa senyum dan set dalam diri..
" Aku hamba Allah! Bukan hamba dunia!
Aku ada misi hidup! Aku mahu berjaya hingga ke Akhirat!