Tuesday 16 April 2013

AKU INGIN MENJADI BAIK


"Kehidupan dunia ini (jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan, dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya, sekiranya mereka mengetahui." (Surah al-Ankabut , ayat 64)

Melihat kepada fenomena hari ini, terdapat pelbagai ragam manusia. Ada kehidupan mereka yang tidak berubah-ubah sedari kecil, remaja, dewasa, tua dan sehinggalah ajal datang menjemput. Tetapi ada juga yang berubah mengikut peredaran usia dan waktu serta keinginan hati mereka dalam mencari kebenaran dan arah tuju hidup.

KEINGINAN UNTUK BERUBAH

Sememangnya sudah fitrah manusia untuk kembali kepada kebenaran meskipun mereka adalah dari golongan seburuk-buruk dan sejahat-jahat manusia. Mungkin sukar untuk percaya, seorang yang digelar 'setan' itu jauh di sudut hatinya ingin menjadi seorang yang baik.

Keinginan untuk menjadi baik dan akhirnya menemui laluan ke arah kebaikan itulah sebenarnya yang dinamakan hidayah. Dengan kehendak Allah, hati yang telah ditutupi dan diselaputi dengan dosa dan noda, akan ada sedikit lubang kecil yang hanya dimuati laluan cahaya hidayah Allah untuk ditembusi terus ke dalam hati-hati manusia yang terpilih.

Sebagaimana firman Allah dalam surah an-Nur ayat 35 yang bermaksud,

"Allah (memberi) nur (cahaya) langit dan bumi. Umpama cahaya-Nya seperti sebuah lubang di dinding rumah, di dalamnya ada pelita. Pelita itu di dalam gelas. Gelas itu seperti bintang yang berkilauan. Pelita itu dinyalakan dengan minyak pohon yang diberkati iaitu minyak zaitun yang (tumbuh) bukan di timur dan bukan di barat, minyak itu hampir bercahaya dengan sendirinya meskipun tiada disentuh api. Cahaya berdampingan dengan cahaya. Allah menunjuki sesiapa yang dikehendaki-Nya kepada cahaya-Nya itu. Allah menunjukkan beberapa contoh untuk manusia. Allah mengetahui setiap sesuatu."

BERSYUKUR

Tatkala kita merasakan kumpulan dosa terlalu banyak, janganlah kita berputus asa dari rahmat-Nya dan merasakan diri tiada tempat di sisi Allah untuk kembali ke pangkal jalan. Sebaliknya bersyukurlah, dengan terdetiknya sedikit penyesalan itu sebenarnya adalah satu bentuk hidayah Allah yang lahir tanpa kita sedari kecuali bagi mereka yang berfikir akan nikmat yang Allah berikan. Kerana dosa yang kita sedari itulah yang mendekatkan diri dengan Allah dan seterusnya melahirkan rasa kehambaan dalam diri dan mengakui kelemahan sebagai seorang manusia yang perlu bergantung kepada Sang Pencipta.

Berbanding dengan mereka yang berasa diri tidak pernah berbuat dosa dan sentiasa betul dalam kelakuan dan tindakan, ia cukup bahaya kerana tidak sedar diri mereka sudah berada jauh dari Allah. Mereka ini adalah golongan yang sombong dan tidak mengharapkan pertolongan Allah tetapi lebih kepada mengikut kata hati dan berbuat apa sahaja yang mendatang kebaikan dan keseronokan pada diri.

Apa yang terjadi hari ini, kita seringkali menolak seruan-seruan untuk kembali kepada Islam. Pelbagai alasan yang diberikan kerana merasakan diri masih muda dan belum tiba masanya untuk berubah. Alasan yang paling suka diberikan ialah 'belum sampai seru!' alasan tersebut langsung tidak munasabah. Mana mungkin kita mengharapkan sesuatu yang bernilai itu diberi secara percuma tanpa perlu berusaha untuk mendapatkannya!

Seringkali apabila kita diberikan ujian dan didatangkan suatu insiden barulah ia berjaya membuka hati kita untuk berubah. Insiden tersebutlah yang akhirnya mengetuk pintu hati kita untuk bertaubat dan kembali kepada jalan Allah. Kita dikira bernasib baik jika nyawa masih dikandung badan tetapi apa akan terjadi jika kita sudah tidak diberi peluang untuk bernafas dan menebus segala dosa-dosa lalu?

HIDAYAH NALURI

Hidayah datang dalam pelbagai bentuk. Bentuk yang pertama ialah hidayah naluri (keinginan). Hidayah ini adalah sesuatu yang semula jadi ada pada diri kita sejak dilahirkan ke dunia sebagai contoh, bayi yang baru dilahirkan akan menangis apabila lapar. Nalurinya inginkan makanan bagi menghilangkan rasa lapar. Yang kedua ialah hidayah melalui pancaindera. Semasa kecil, kita dapat mengenali dan membezakan sesuatu perkara dengan menggunakan pancaindera seperti mendengar suara ibu dan ayah atau dapat mengenali sesuatu objek. Kemudiannya hidayah dalam bentuk akal fikiran yang mana ia dikurniakan oleh Allah supaya dapat memandu kita berfikir secara rasional sebelum bertindak.

HIDAYAH AGAMA

Seterusnya ialah hidayah agama. Hidayah inilah yang menyelamatkan diri kita daripada kesesatan dengan berpegang teguh kepada ajaran Islam dan beriman kepada Allah SWT. Ia dapat mendorong kita melakukan kebaikan dan meninggalkan larangan Allah sekali gus dapat membezakan antara perkara-perkara baik dengan perkara haram.

HIDAYAH TAUFIK

Yang terakhir ialah hidayah taufik yang mana merupakan tahap hidayah yang tertinggi kurniaan Allah kepada hambanya yang dikasihi. Tinggal sekarang, hidayah itu harus dijaga kerana nilainya tiada tara dan tidak dapat ditukar dengan apa pun. Ia menjaga kehidupan kita di dunia mahupun di akhirat kelak.

Hidayah pula diturunkan dalam dua cara iaitu hidayah pemberian makhluk sama ada dari kalangan para nabi, pendakwah ataupun sesiapa sahaja. Contohnya hidayah yang diturunkan melalui Nabi Muhammad agar membimbing umatnya beriman kepada Allah. Namun, hidayah taufik ini tidak mampu diberikan oleh makhluk tetapi hanya Allah yang berkuasa. Ia tiada pada Nabi Muhammad walaupun baginda adalah seorang Rasul sebagaimana firman Allah dalam surah al-Qashash ayat 56 yang bermaksud,

"Sesungguhnya engkau (ya Muhammad) tidak dapat memberi hidayah/petunjuk kepada orang yang engkau cintai, akan tetapi Allah lah yang memberi hidayah kepada siapa yang Dia kehendaki."

Adapun ciri-ciri orang yang sudah mendapat hidayah, mereka hebat beribadat seperti melakukan solat fardu dan sunat, mengeluarkan zakat dan rukun Islam yang lain, sentiasa memperuntukkan waktu untuk bertasbih dan bertahmid kepada Allah SWT selain mengerjakan keperluannya di dunia. Mereka ini tidak mampu melupakan Allah walau sesaat kerana begitu takut akan pembalasan di hari akhirat nanti. Mereka juga terlalu berhati-hati dalam setiap perlakuan agar tidak ditarik balik hidayah pemberian Allah.

Biarpun hidayah itu adalah pemberian Allah tetapi tidak bermakna kita hanya berpeluk tubuh dan menunggu ia datang kepada kita. Hidayah perlu dicari dan boleh diusahakan jika kita benar-benar inginkannya dengan memohon kepada Allah. InsyaAllah, kita pasti akan diberikan hidayah.


- Artikel iluvislam.com

Saturday 13 April 2013

FAHAMAN PEMIKIRAN DAN ETIKA : SEKULARISME.


FAHAMAN PEMIKIRAN DAN ETIKA.

SEKULARISME.


Sekularisme merupakan satu ideologi terkini yang mencakupi skop fahaman dan perbincangan yang luas dan bertujuan untuk melahir idea dan nilai  secular dalam jiwa setiap individu , masyarakat dan membentuk sebuah negara sekular. Perjuangan utamanya berkitan dengan urusan keduniaan yang mesti dipisahkan daripada dari hal-hal keagamaan seperti politik, ekonomi, sosial, ekonomi, sosial, pentadbiran dan undang-undang. Ianya hanya tertumpu kepada skop keduniaan dan persoalan kebendaan semata-mata. Sekularisme juga memperjuangkan hak kebebasan mutlak setiap individu daripada peraturan dan ajaran agama yang dilaksanakan oleh pihak pemerintah dalam sesebuah Negara. Prinsip sekularisme ialah menegakkan kepercayaan bagi setiap keputusan yang diambil mesti bersumberkan daripada pemikiran akal manusia terlebih dahulu terhasil melalui bukti ujikaji bukan hasil doktrin agama. Individu sekular yang lahir sangat terpesona dan angkuh jika berjaya mempamerkan identity diri sebagai penganut ideologi tersebut.


DEFINISI SEKULARISME


Sekular berasal daripada perkataan Latin` saeculum yang bermaksud masa dan tempat. ,aksudnya ialah masa sewaktu kita menjalanai kehidupan dan tempat pula merujuk kepada kehidupan dunia atau dunia yang nyata. Kehidupan secular mesti berfokuskan kepada kehiduapan dunia yang tiada kaitannya dengan akhirat atau hari pembalasan. Ia juga memisahkan antara zahir dan batin, fizikal dan spiritual juga rohani dan jasmanai. Dari aspek falsafah, secular didefinisikan ialah sebuah fahaman yang menggesa agar agama dan nilai-nilainya mesti diasingkan dari kehidupan manusia.


NEGARA SEKULAR


 Negara sekular yang merujuk kepada negara yang menerima anutan fahaman ini bagi negara tersebut iaitu sebuah negara yang memisahkan agama daripada pentadbiran negara. Hal ini dapat dikatakan bahawa penggantian urusan politik atau pentadbiran bebas daripada pengaruh agama yang digantikan dengan undang-undang sivil. Maka keputusan yang dibuat hanya berdasarkan rasional moral yang berdasarkan logik akal pemikiran semata. Beliau juga menggantikan hukum-hukum agama dengan idea sekular sebagai panduan dalam melaksanakan hidup di dunia. Walaubagaimana pun, agama tidak perlu terus dibuang daripada kehidupan secara terang-terangan tetapi secara halus seperti menggalakan individu melakukan perkara-perkara leka daripada menunaikan kewajipan beragama atau menggalakkan melakukan dosa-dosa.


SEJARAH KEMUNCULAN


Ideologi sekularisme tercetus disebabkan oleh pergolakkan kehidupan manusia, antara faktornya ialah:


i)Penentangan dan pengasingan kuasa gereja


Sekular mula dan muncul di negara barat pada pertengahan iaitu pada zaman pembaharuan eropah sebagai satu tindak balas rakyat terhadap sikap gereja. Idoelogi ini muncul hasil perbalahan antara para saintis dengan para paderi di gereja. Ideologi terus berkembang keseluruhan eropah.Hal ini kerana, ilmu pengetahuan dan penyelidikan hanya dibenarkan dan berlangsung di gereja sahaja namun semua hasilnya dianggap salah melainkan bersesuaian dengan kehendak pihak gereja.


ii) Kemunculan Teori Charles Darwin


Teori dipelopori oleh Charles Darwin, beliau merupakan ahli biologi berbangsa inggeris yang dilahirkan pada tahun 1809 masihi. Beliau telah menerokai lautan dan daratan disekeliling dunia. Hasilnya, lahirlah teori yang menyatakan bahawa seluruh makhluk hidup berubah menjadi bentuk mekhluk yang lain lantaran sebuah proses revolusi dan penyempurnaan. Tambah beliau lagi, tidak ada satu pun makhluk hidup diciptakan tanpa adanya sebuah mukadimah dan cara mendadak dan tiba-tiba. Perkara ini turut dialami oleh manusia yang anthropoid bahkan turut dialami oleh beberapa jenis binatang lain seperti kera dan monyet.


PRINSIP-PRINSIP SEKULAR

1.Meningkatkan  penguasaan kebendaan dalam kalangan umat manusia. 
2.Mencapai matlamat perjuangan. 
3.Kebebasan diri daripada sebarang kepercayaan dan penghayatan kebenaran sekular. 
4.Mengutamakan kepentingan ilmu sains sabagai panduan hidup. 5.Hukuman tidak dirujuk menerusi agama. 

CIRI-CIRI SEKULAR
1.Penafian hal-hal kerohanian.
2.Penafian terhadap kewibawaan orang yang mempunyai kedudukan tinggi dalam agama.
3.Menafikan adanya nilai hidup yang tetap.
4.Menolak keimanan kepada ALLAH dan konsep ibadah.
5.Menjauhkan agama daripada landasan penting sebagai panduan dan hala tuju hidupa manusia dalam  pelbagai bidang sepertikesenian, pendidikan dan moral.
6.Pengasingan kuasa Negara daripada peraturan agama. Corak pemerintahan perlu dibezakan agar tidak sepadu antara politik dan agama.
7.Meyakini bahawa nilai-nilai Islam harus dibezakan daripada nilai-nilai kehidupan dunia dalam setiap aspek.
8. Beranggapan bahawa institusi politik dalam peradaban kaum Muslimin masa lampau adalah cerminan dan warisan tradisi yang tidak ada hubungan dengan hokum syariat yang suci.
9. Penerapan syariat islam akan merugikan penganut bukan Islam.
10. Menganggap syariat islam sangat terbelakang dan ketinggalan zaman.
11. Menyebarkan fahaman yang boleh menimbulkan keraguan terhadap Islam untuk kepentingan politik sendiri.


 KAEDAH PENYEBARAN FAHAMAN SEKULARISME


A)    PENDIDIKAN
1) Menghantar pelajar ke luar Negara untuk melanjutkan pelajaran.
2) Menghapuskan pelajaran agama atas nama pendidikan.
3) Memperkenalkan institusi asing di Negara Islam.
4) Pergaulan bebas.


 B)    MEDIA MASSA
 Media massa memainkan peranan yang besar menyebarkan fahaman sekular. Tayangan-tayangan yang memapar unsur-unsur yang negatif yang akan menjatuhkan akhlak islam sehinggakan mendatangkan masalah-malasah sosial. Selain itu, media massa juga dijadikan sebagai medan menabur fitnah dan maklumat yang tidak benar tentang Islam. 


C)    UNDANG-UNDANG
 Golongan ini sedaya upaya menjauhkan Islam daripada kekuasaan pemerintahan dengan memastikan agar undang-undang Islam tidak dirujuk walau dalam masalah yang sangat kecil sehingga Islam kelihatan tinggal namanya sahaja. Undang-undang civil pila diperkenalkan. Hal ini kerana, Islam dan sekularisme tidak dapat disatukan kerana kedua-duanya berbeza fahaman. 


KEKUASAAN MANUSIA( MANPOWER) 

Manusia bercita-cita tinggi dengan menggunakan akal. Kelemahan manusia bercita-cita tinggi:-          
I. Bersifat realistik          
II. Krisis dalaman dan luaran manusia          
III. Pengiktirafan ahli-ahli pembangunanan terhadap manusia. 

LIBERALISME

Liberalisme merupakan falsafah yang meletakkan kebebasan individu sebagai nilai politik tertinggi liberalism menekankan hak-hak peribadi dan kesamarataan peluang. Ideologi ini bersetuju dengan prinsip-prinsip seperti kebebasan berfikir dan kebebasan bersuara, batasan kepada suara kerajaan, kedaulatan undang-undang, hak individu ke atas harta persendirian, pasaran bebas dan ketelusan sistem pemerintahan. Aliran ini merupakan lanjutan daripada zaman Renaissance di Itali, yang merupkan tindak balas intelek Eropah daripada penindasan golongan gereja. Gerakan ini membebaskan kuasa gereja daripada segi rohani ke atas individu dan membentuk mazhab baru yang bernama prostetan pada abad ke-16 masihi.Liberalism dari segi politik yang mana seseorang itu adalah asas undang-undang dan masyarakat. Masyarakat dan institusi-institusi kerajaan yang wujud yang memperjuangkan hak-hak peribadi tanpa memilih kasih sesiapa yang mempunyai taraf sosial yang lebih tinggi.Dari segi ekonomi, aliran ini memperjuangkan kapitalisme Laissez-faire yang mahu membuang semua halangan  terhdap perdagangan dan memberhentikan semua kemudahan yang diberi oleh kerajaan seperti subsidi dan monopoli. Mereka berpendapat bahawa pasaran sebenarnya ditentukan oleh tindakan-tindakan oleh pengguna.

MODENISME


Modenisme merupakan proses tranformasi atau perubahan dalam segala aspek kehidupan masyarakat. Aliran ini terhasil daripada gerakan-gerakan di Amerika Latin yang memperjuangkan pembebasan dan autonomi budaya baru supaya dapat membebaskan diri daripada cengkaman hagemoni kebudayaan Sepanyol. Aliran ini menekankan kuasa manusia mencipta, membaiki dan membentuk semula persekitaran mereka dengan bantuan sains, teknologi dan uji kaji praktikal. 


HUMANISME

Dapat ditakrifkan dengan menganggap bahawa manusia adalah segala-segalanya dan manusia itulah Tuhan Yang Maha Agong. Hal ini kerana menganggap manusia yang menentukan hukum-hakan dan Tuhan tidak berperanan di muka bumi ini. Sifat fahaman Humanisme : 

Percampuaran bebas  


Percampuaran bebas antara lelaki dan perempuan tanpa sekatan dan digalakkan atas tidak beza antara kedua-duanya dari segi hak asasi dan tangungjawab.Berusaha menghapuskan halangan-halangan tabii antara lelaki dan perempaun seperti perasaan maluPenggunaan istilah-istilah yang mengelirukan -Istilah ‘Unisek’ yang dipopularkan di kedai gunting rambut bagi menggalakkan lelaki berambut panjang dan perempuan juga digalakkan berambut pendek serta para penghibur juga dijadikan role bagi golongan muda-Istilah ‘bintang’ yang mengambarkan maksud yang baik kepada pelakon-pelakon filem walaupun bercanggah dengan fahaman Islam-Istilah ‘Gay’ merupakan golongan yang mengamalkan hubungan sejenis yang dilaknat oleh Allah-Istilah ‘chairman’ yang digunakan bagi individu yang mempengerusikan sesuatu majlis tetapi istilah ini ditolak oleh gerakan pembebasan wanita Barat Sekular Moden kerana dianggap memperkecilkan golongan wanita- Istilah ‘He’ merupakan istilah yang menunjukkan panggilan tuhan tetapi ditolak kerana tuhan dianggap lelaki. 


Penukaran Peranan antara lelaki dan perempuan-Sifat fahaman ini adalah untuk menggalakkan percampuran bebas. Mereka berpendapat wanita yang berharga adalah wanita yang memberi khidmat kepada masyarakat di luar rumahnya agar khidmatnya diiktiraf, diberi ganjaran dan dinilai.


Gerakan pembebasan wanita-Gerakan mereka pada dasarnya adalah betul tetapi kini merekan gigih menyokong gerakan homoseks dan lesbian atas dasar hak asasi kemuasiaan.


Kaunseling berkelompok-Kaedah kononnya dilakukan bagi menghilngkan perasaan malu, setiap kelompok akan disertai tujuh atau lapan orang yang terdiri antara lelaki dan perempuan dan seorang mereka menceritakan apa sahaja masalah yang dihadapi walaupun masalah yang itu sangat sulit.


Pendidikan Seks-Dimulakan di Sweden tetapi pada tahun 1956 banyak cara pendidikan telah menceroboh panduan-panduan yang telah ditetapkan seperti amalan seks yang ganjil dan kecurangan juga di syorkan sebagai kaedah yang dibenarkan  


 “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik dan berdialoglah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.” (al-Nahl : 125)

Saturday 29 December 2012

Bagaimana Untuk Istiqamah ?

YA ALLAH... YA TUHANKU... YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG..

Aku sangat cemburu apabila melihat sahabat-sahabat yang mampu berterusan atau dengan kata lainnya, istiqamah turun ke masjid/surau untuk solat fardu secara berjemaah.

Aku menjadi cemburu melihat sahabat-sahabat yang mampu istiqamah dalam pembacaan al-Mathurat selepas subuh dan selepas asar.

Aku cemburu kepada sahabat-sahabat yang mereka mampu istiqamah membaca Al-Quran setiap hari.

Aku cemburu kepada sahabat-sahabat yang mampu istiqamah dan maintain kan hafazan Al-Quran mereka malahan dapat menambahkan lagi ayat-ayat dan surah-surah hafazan bagi mereka yang belum habis menghafaz.

Aku merasa cemburu kepada sahabat-sahabat yang dapat istiqamah dalam mengamalkan solat sunat Dhuha tiap-tiap hari dan juga bagi mereka yang dapat istiqamah dalam solat sunat hajat. Lebih-lebih lagi kepada mereka yang dapat mengamalkan solat sunat rawatib.

Cemburu dengan sahabat-sahabat yang sentiasa berselawat ke atas junjungan mulia Rasulillah SAW. Selawat dan salam ke atas baginda. Dan juga sahabat-sahabat yang sentiasa beristighfar kepada Allah SWT dan sentiasa berzikir mengingati Allah SWT.

Sangat cemburu kepada sahabat-sahabat yang istiqamah dalam belajar ilmu agama (Tolabul Ilmi).
Aku terlalu cemburu kepada sahabat-sahabat yang istiqamah dalam membina kekuatan rohani iaitu qiamullail di waktu 2/3 malam.

Hadis nabi yang bermaksud:-Daripada Syufyan Ibn Abdillah As-Saqafi berkata, Aku berkata, "Wahai Rasulullah katakanlah kepadaku satu perkataan dalam Islam yang aku tidak akan bertanya kepada seorang pun selain engkau. Baginda bersabda, "Katakanlah, "Aku beriman kepada Allah, kemudian beristiqamahlah (jangan menyimpang)."
(Hadis Riwayat Muslim)

Istiqamah merupakan satu perkara yang sangat payah untuk dilakukan. Kadang-kadang terasa kaslan (malas), kadang-kadang terasa nak menangguh, terkadang masa tak mencukupi. Hendak melakukan sesuatu amalan secara istiqamah bukanlah sesuatu perkara yang mustahil tetapi sesuatu perkara yang cukup mencabar keimanan seseorang muslim. Sebagaimana yang kita tahu, amalan yang sedikit tetapi kita istiqamah dalam melakukannya lebih baik daripada kita melakukan banyak amalan tetapi tidak secara istiqamah.
Namun jangan pula diambil mafhum ayat di atas dengan mengatakan "aku nak pilih amalan yang sedikit je la, lagi senang kan...."

Betulkanlah kefahaman kita. Sesungguhnya bukanlah istiqamah di sini hanya sekadar cukup dengan amalan yang sedikit namun Rasulullah lebih mendidik kita agar lebih mengutamakan kualiti daripada kuantiti. Selagi mana kita mampu beramal dan beristiqamah dengan amalan kita, teruskan. Dan sekiranya kita mampu lagi untuk menambahkan amalan kita dan dapat beristiqamah dengannya, maka teruskanlah. Setelah yakin dapat istiqamah dengan amalan itu, maka tingkatkanlah dengan amalan lain pula.  Itu yang seelok-eloknya.
Ingat Ya Ikhwan... Manusia yang bodoh ialah manusia yang hari ini sama dengan hari semalam manakala manusia yang pandai dan berjaya ialah manusia yang hari ini lebih baik dan ada peningkatan daripada hari semalam.

Teringatkan pada kata seorang teman ,

"Payah ke istiqamah? Tengok aku, istiqamah je main game FIFA/PES."

Saya hanya ketawa tanpa berkata apa-apa dan hanya berfikir itu hanyalah gurauan semata walaupun sebenarnya kata-kata itu menyedarkan saya tentang sesuatu iaitu istiqamah!. Hati saya terdetik, mungkin Allah mahu memberitahu saya - "Jika kita mahu mengekalkan dan istiqamah dalam melakukan sesuatu, kita mesti punya minat dalam melakukan ia. Dan dari sudut lain, perlu ada kesedaran betapa bermaknanya sesuatu itu. Memaknakan sesuatu yang bermakna!

 Justeru, minat, kecintaan dan kesungguhan dalam melakukan sesuatu perkara juga perlu untuk disebatikan di dalam diri. Demikianlah para  ulama' yang sentiasa  istiqamah di dalam ibadah yang dilakukan. Di dalam hati mereka hanya ada cinta kepada Allah dan Rasul-Nya lantas mereka dapat merasakan kekusyukan dan kemanisan dalam beribadat kepada yang Maha Esa. Lantaran didikan Rasulullah itu lah, mereka sentiasa istiqamah dan menjadi hamba yang punya kualiti di dalam ibadahnya, punya taqwa yang tinggi di dalam hatinya. Kita?

"Ya Allah, jauhnya darjat ku ni berbanding dengan mereka ini. Semoga aku dapat bersama dengan mereka beristiqamah dalam agama islam. Insya Allah..."
"Maka tetaplah (istiqamahlah) kamu pada jalan yang benar, sebagaimana diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang telah taubat beserta kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan" (Surah Hud ayat 11)

Ambillah pedoman daripada cerita sang Abid, Barsisa yang tekun beribadat selamat 70 tahun, namun kecundang dengan tipudaya syaitan. Berakhir dengan sujud kepada syaitan dan kufur kepada Allah. Menunjukkan betapa hebatnya cabaran dan susahnya untuk istiqamah dalam beribadah kepada Allah. Kita sering kali gagal untuk terus istiqamah kerana pujuk rayu syaitan yang menggiurkan.


Berhubung dengan ini,  Allah SWT menyatakan di dalam firmanNya yang berbunyi:-

"Dan ketika syaitan mencantikkan bagi mereka perbuatan mereka, dan dia berkata, 'Tidak ada seorang manusia pun yang dapat mengalahkan kamu pada hari ini, dan sesungguhnya aku adalah pelindungmu." ..(Surah Al-Anfaal ayat 48)

Semoga Allah jauhkan kita daripada perkara-perkara yang menyebabkan manusia tergelincir dari jalan islam dan tergolong dari mutasaqitun (golongan yang tercicir).

"Ya Allah. Istiqamahkan kami dalam ketaatan kepada-Mu dan tetapkan langkah kami dalam memperjuangkan agama-Mu. Amin Ya Rabbal 'Alamin."

Sunday 4 November 2012

BERSYUKUR ATAS UJIAN..



Tatkala Rasulullah berdakwah ke Taif, masyarakat Taif bukan sahaja tidak menerima dakwah baginda, malah mencaci, menghina dan melempari baginda dengan batu. Para malaikat menawarkan diri untuk menghapuskan orang-orang yang berlaku durjana kepada baginda. Tetapi dengan tenang, baginda menjawab: “Biarkan mereka, jangan diapa-apakan mereka kerana mereka tidak tahu, mereka masih jahil.”

Demikianlah, orang-orang yang tinggi taqwa dan keimananya; tidak mengeluh apabila diuji. Berbeza dengan golongan orang awam seperti kita ni, apabila diuji kita mudah jahat sangka dengan Allah dan berdendam dengan orang yang mendatangkan ujian kepada kita. Walhal bukan orang itu yang hendak menyusahkan kita, tetapi hakikatnya Allah. Allah yang hendak uji kita, menggunakan orang itu sebagai perantaraan.

Jadi, tanyalah Allah kenapa kita diuji. Marilah kita lihat bandingannya. Katalah suatu ketika guru besar mengarahkan ketua murid merotan seorang murid yang melanggar disiplin sekolah. Apa reaksi murid yang dirotan itu? Kalau dia seorang yang insaf dan tahu diri, ia segera terfikir akan kesalahan yang dilakukannya, mungkin dia berazam untuk tidak mengulanginya lagi. Itulah murid yang cerdik, dia sedar hikmah di sebalik dia dirotan. Tetapi bagi murid yang tidak mahu berfikir, sudahlah tidak mahu mengaku kesalahannya, dia berdendam pula kepada ketua murid atau guru besar yang merotannya. Mengapa harus berdendam? Ketua murid hanya menjalankan tugas. Guru besar pula menjalankan keadilan; yang bersalah tidak dihukum, tidak ada jaminan yang dia tidak mengulangi kesalahannya. Kalau begitu, murid yang bersalah itu layaklah dirotan. Begitulah halnya dengan Allah yang Maha Pengasih.

Berbagai-bagai cara Allah gunakan untuk mendidik kita.Diberikan-Nya ujian demi ujian sebagai peringatan kepada kita. Tetapi sedikit sekali yang mencari hikmah dan mengambil iktibar daripada ujian yang ditimpakan.Malahan ujian membuatkan kita bertambah jauh dari Allah; mengeluh dan menyesali takdir Allah. Marilah kita menyedari akan kesilapan kita selama ini. Terimalah sagala ujian yang besar mahupun yang kecil sebagai satu didikan terus dari Allah.

Dan ingatlah, andaikata kita diuji, kita masih wajib bersyukur kerana masih ada 1001 jenis nikmat lain yang Allah kurniakan kepada kita! Jadi mengapa mesti merungut ketika diuji?Ujian itu adalah tanda kasihnya Allah kepada hambanya seperti Nabi saw bersabda
"Sesungguhnya antara dosa itu ada dosa yang tidak dapat ditebus oleh sembahyang, haji dan umrah hanya dapat ditebus dengan kerisauan hati dalam mencari nafkah hidup." (Riwayat Ibnu dan Abu Na'im dari Abu Hurairah).

Apalah guna hidup senang, tetapi penuh dengan dosa dan noda, Nabi saw bersabda "Sesungguhnya yang lebih lama susahnya di dunia ialah yang lama gembiranya pada akhirat dan lebih lama kenyangnya di dunia akan lebih lama lapar di akhirat." (Riwayat Ibnu Asakir)

.Ini bererti mereka yang hidup sengsara, menderita kelaparan, sakit dan risau di dunia ini akan mendapat kegembiraan yang lama pada akhirat nanti, sebaliknya golongan yang kenyang dan gembira di dunia ini akan lama kelaparannya pada akhirat.
Bagi mereka yang hajatnya tidak tercapai di dunia ini, janganlah berduka cita atau putus asa atas keputusan Allah, habuan mereka tersimpan pada akhirat nanti.Allah berfirman yang bermaksud:
 "Demi sesungguhnya kami akan menguji kamu dengan dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan berasa) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar." (Surah al-Baqarah, ayat 155).

Manusia berasa sukar menerima keadaan yang biasa menimpa seperti kemiskinan, kerugian, kehilangan barang, pangkat, kematian dan perkara lain yang mengurangi kesenangannya.Apa yang dapat bertahan dalam kesukaran seperti itu hanyalah orang yang mempunyai sifat sabar dan reda. Dalam hadis Qudsi nabi menceritakan "bahawa Tuhan berkata" Akulah Allah, tidak ada Tuhan yang sebenarnya, selain Aku, maka barang siapa tidak sabar atas cubaanku, tidak bersyukur atas nikmatku dan tidak rela terhadap keputusanku, maka hendaklah dia mencari Tuhan yang lain daripada Ku." Nabi saw membuktikan cinta dan kasih sayang kepada umatnya ia sanggup menanggung segala susah payah yang menimpa dan inginkan kebaikan daripada umatnya, hingga hampir wafatnya ia masih menyebut umatku, umatku, umatku, seperti mana firman Allah bermaksud

 "...sesungguhnya sudah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad saw) yang menjadi sangat keberatan kepada sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat lobakan (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang beriman."  (Surah at-Taubah, ayat 128).

Tidak ada siapa pun yang mahu meminta supaya dirinya dikenakan musibah, contohnya sakit, kerana tidak tahu nikmat musibah itu sebenarnya, sebaliknya mengganggap musibah itu adalah buruk. Dari Abud Dardaa' berkata "orang tidak suka kemiskinan dan aku suka, dan tidak suka mati dan aku suka, dan tidak suka penyakit, aku suka".

Wednesday 26 September 2012

BERPISAHNYA INSAN " BERCOUPLE "


"Aku memang sangat mencintainya. Tapi aku terpaksa clash dengan dia.."

"Kenapa pulak?"

"Sebab aku selalu ingat dia sampai aku selalu lupa Allah."

Pergh.. terbaiklah bro! Alhamdulillah..

Beruntung siapa dapat kekasih sepertinya. Bayangkanlah.. Tentu dia sudah dapat merasai penangan cinta daripada Allah sehingga sanggup untuk berpisah dengan insan yang selalu disayanginya dengan cara yang salah.

Ya.. begitulah.. Memilih untuk berpisah kerana Allah adalah keputusan yang sangat bijak. Itulah pilihan iman sebenarnya. Apabila menyedari diri sering terjebak dengan dosa ketika ber'couple', iman yang ada dalam diri pasti akan menegur. Sangat terbaik orang yang sanggup menerima teguran daripada iman itu.

~Cepat-cepatlah terima teguran iman di hati sebelum nafsu mengambil alih.

Sememangnya terbaik. Itulah keputusan yang membawa manfaat buat dirinya dan kekasihnya. Bercintalah. Tapi buatlah keputusan untuk tidak ber'couple'. Selepas keputusan itu dibuat, akan berkurang atau tiada lagi episod-episod berpegangan tangan, bersentuh-sentuhan, bermanja-manjaan, membuang masa bersama, tinggalkan solat bersama, dan macam-macam lagi yang tidak sepatutnya berlaku sebelum kahwin. Masing-masing terhindar daripada maksiat dan dosa.

Itu barulah 'saling menyayangi' namanya. Mahu berpegangan tangan hingga ke Syurga atau ke Neraka? Tiada siapa yang mahu bersama ke Neraka bukan? Namun siapa yang betul-betul mahu bersama hingga ke Syurga?


Kadang-kadang kita merasakan nikmat ber'couple' itu terlalu indah. Lalu kita suka. Tapi sebenarnya itu hanya sangkaan. Mainan nafsu. Direct to the point, ber'couple' (sebelum nikah) tidak baik untuk kita. Sebab itu Allah mengizinkan berlakunya 'kehilangan' atau perpisahan. Kerana 'kehilangan' atau perpisahan yang kita tidak suka itu sebenarnya baik untuk kita.

Allah 'Azza Wa Jalla berfirman;

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagi kamu.Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui"
(Surah al-Baqarah ayat 216)

"biarlah kita kehilangan si dia kerana Allah. Jangan kita kehilangan Allah kerana si dia."

Sahabat-sahabat semua.. Marilah sama-sama kita renungkan... Belum tentu pasangan kita itu adalah suami kita atau isteri kita. Kita 'bercouple' bagai nak rak, tiap malam bergayut dengan suara manja tanpa kita menyedarinya, waktu pagi bertemu berkepit ke hulu dan ke hilir tanpa rasa bersalah, semuanya hanya keindahan yang sementara.

Jika pasangan kita itu ditaqdirkan menjadi suami atau isteri kita, keindahan yang selalu kita nikmati di fasa sebelum pernikahan semakin suram. Jika dulu hampir setiap hari bertemu, namun setelah berada di alam pernikahan pandang pun menjadi jemu. Segala keindahan alam perkahwinan yang sepatutnya dinikmati di fasa tersebut turut hambar kerana sudah pun dirasai sebelum akad termeterai. Tiada lagi kejutan mahupun 'suprise' yang membahagiakan kerana hampir kesemua telah kita hadam dan menjadi perkara biasa kepada kita.

Kesimpulannya, serahkan lah hati kita kepada Allah. Simpankan rasa itu semata-mata hanya untuk Allah SAW. Biarkan Allah temukan hati yang mencintai Allah itu dengan hati yang lain, yang mana hati itu juga turut mencintai Allah. Yakinlah, jika kita menghiaskan hati ini dengan cinta Allah, pasti cinta yang hadir itu sentiasa mekar dan tidak akan layu. Malah cinta itu pasti kekal sentiasa kerana sandarannya juga adalah Zat yang Maha Kekal.


Marilah kita hayati dan amalkan doa ini. Semoga Doa Nabi Daud A.s ini memberi kita semangat dan teguh dalam mencinta Allah SAW sepenuh hati kita melebihi cinta kepada makhlukNya.

" Ya Allah, kurniakanlah daku perasaan cinta kepada-Mu, Dan cinta kepada orang yang mengasihi-Mu, Dan apa sahaja yang membawa daku menghampiri cinta-Mu. Jadikanlah cinta-Mu itu lebih aku hargai daripada air sejuk bagi orang yang kehausan, Ya Allah, sesungguhnya aku memohon cinta-Mu, Dan cinta orang yang mencintai-Mu serta cinta yang dapat mendekatkan aku kepada cintaMu,

Ya Allah, apa sahaja yang Engkau anugerahkan kepadaku daripada apa yang aku cintai, Maka jadikanlah ia kekuatan untukku mencintai apa yang Engkau cintai. Dan apa sahaja yang Engkau singkirkan daripada apa yang aku cintai, Maka jadikanlah ia keredaan untukku dalam mencintai apa yang Engkau cintai, Ya Allah, jadikanlah cinta-Mu sesuatu yang paling aku cintai daripada cintaku kepada keluargaku, hartaku dan air sejuk pada saat kehausan.

 Ya Allah, jadikanlah aku mencintai-Mu, mencintai malaikat-Mu, Rasul-Mu dan hamba-Mu yang soleh, Ya Allah, hidupkanlah hatiku dengan cinta-Mu dan jadikanlah aku bagi-Mu seperti apa yang Engkau cintai, Ya Allah, jadikanlah aku mencintai-Mu dengan segenap cintaku dan seluruh usahaku demi keredhaan-Mu.

(Hadis riwayat At-Tarmizi, Rasulullah SAW bersabda, "Inilah doa yang biasa dipanjatkan oleh Nabi Daud a.s"

Wallahu Ta'ala A'lam


Sunday 23 September 2012

Cinta itu fitrah bagi manusia.


Cinta itu fitrah bagi manusia... Namun, hati-hati memilih dan menyusun cinta. Jangan tersalah menyemai cinta pada yang fana'... Cinta yang hakiki pada Yang Baqa'... Jangan jadi hamba cinta yang sementara... Dengarkan hikayat ini yang penuh bererti...



Setelah burung Hud-hud selesai bercerita, burung-burung yang lain mula bersemangat membahas kebesaran Sang Raja dan dipenuhi kerinduan untuk menerimanya sebagai penguasa mereka. Semuanya tidak sabar untuk segera berangkat. Mereka memutuskan untuk pergi bersama; masing-masing ingin menjadi sahabat yang lainnya dan menjadi musuh untuk dirinya. Tetapi, ketika mereka menyedari betapa jauhnya perjalanan dan betapa beratnya menempuh perjalanan itu, mereka mula ragu-ragu.


WaIaupun setiap burung sudah berniat untuk menempuh perjalanan, masing-masing mengajukan keberatan. Burung bulbul yang sedang kesamaran, maju ke hadapan dengan penuh perasaan. Dia mencurahkan gelora hatinya pada ribuan nada lagu-lagunya. Pada setiap nada ada satu aIam rahsia. Ketika dia menyanyikan seluruh misteri ini, burung-burung menjadi bungkam, “Rahsia cinta sudah aku ketahui.” katanya. “Sepanjang malam, aku ulang lagu-lagu cintaku. Tidak adakah Daud yang malang supaya aku dendangkan baginya mazmur cinta yang penuh kerinduan?"


Rintihan seruling yang manis terjadi keranaku, begitu pula jeritan suara biola. Ku ciptakan goncangan antara bunga mawar dan juga hati para pencinta. Selalu ku ajarkan misteri baru. Setiap saat aku ulangi lagu-lagu derita yang baru. Ketika cinta menguasai jiwaku, nyanyianku seperti lautan yang menderu. Sesiapa sahaja yang mendengarku, meninggalkan akal sihatnya walaupun dia termasuk orang bijak.


Jika aku berpisah dari Mawar kesayanganku, aku berdukacita. Ku hentikan nyanyianku dan tidak ku ceritakan rahsiaku kepada sesiapa pun. Rahsiaku tidak diketahui oleh sesiapa pun, hanya Sang Mawar yang tahu dengan pasti. Begitu dalamnya aku mencintai Sang Mawar, aku tidak pernah lagi memikirkan wujudku sendiri. Aku hanya memikirkan Sang Mawar dengan putik sarinya.
Perjalanan menuju Simorgh di luar kemampuanku. Cinta Sang Mawar sudah cukup bagi burung bulbul. Untuk dakulah Sang Mawar berbunga dengan ratusan putiknya; apalagi yang aku inginkan Sang Mawar yang merekah hari ini penuh dengan kerinduan dan ia tersenyum bahagia buatku. Ketika ia menampakkan wajahnya di balik kelambu, aku tahu itu dilakukan untukku. Bagaimana mungkin Sang Bulbul melewatkan satu malam pun tanpa kecintaan pesona ini?”
 

Burung Hud-hud menjawab: “Wahai Bulbul yang terpesona oleh bentuk luar! Berhentilah dalam ke­bahagiaan kerana keterikatan kepada hal yang menipu. Kecintaan Sang Mawar mengandungi banyak duri: ia telah mengganggu dan menguasaimu. Walaupun Mawar itu indah, keindahannya akan segera hilang. Sesiapa sahaja yang mengejar kesempurnaan diri, tidak boleh menjadi hamba bagi cinta yang segera berlalu. Jika senyum bunga mawar membangkitkan ghairahmu, senyum itu akan mengisi siang malammu hanya dengan rintihan. Tinggalkan Mawar, kerana pada setiap musim bunga yang baru, ia mentertawakanmu. Setelah itu, ia tidak pernah tersenyum lagi. Malulah kamu pada dirimu!

Saturday 22 September 2012

ADAKAH DIA MILIKKU?



Persoalan yang seringkali timbul dalam hati setiap hamba Allah di muka bumi yang mendambakan cinta sesama manusia. Terkadang seribu usaha telah dilakukan dan tawakkal serta doa telah dilafazkan.Akan tetapi adakah hasilnya seperti ape yang diharapkan?

Sahabat,sedarlah bahawa usaha itu adalah satu kemestian yang dilakukan oleh setiap hamba Allah dimuka bumi kerana kita harus merancang akan tetapi Allah yang menentukan segalanya. Berapa ramai insan yang kecundang selepas usaha yang dilakukan tidak seperti apa yang dijangkakan?Bahkan ada yang memaling pada mentaati perintah Allah setelah kecewa dengan pengakhiran suatu usaha itu.

Sahabat, sedarlah bahawa Allah itu Maha kaya dan Maha mengetahui setiap hati hamba-hambanya.Ketentuan dariNya adalah yang terbaik untuk hamba-hambanya dan kita haruslah redha dengan ketentuanNya kerana ini adalah seiring dengan rukun iman keenam yakni percaya pada qadha dan qadar. Tidak redha dengan ketentuanNya bermakna tidak percaya pada rukun iman keenam.

Jadikanlah Al-quran itu sebagai panduan. Sunnah menjadi ikutan. Solat hajat menjadi tempat mengadu luahan perasaan. Istikharah sebagai penghubung hati pada tuhan agar diberikan jalan dalam membuat pilihan. Indahnya Islam dalam mengajar umat islam untuk mencari jodoh yang baik.

Sahabat,berusahalah untuk mencari cinta sejati dengan sentiasa berusaha dan berdoa kepadaNya. Jangan pernah putus asa dalam usaha. Ujian Allah dalam meniti suatu perjalanan mencari cinta sangatlah berat kerana Allah inginkan hamba-hambaNya meminta-minta padaNya. Bersabarlah atas setiap ujian yang kita hadapi dengan tabah dan redha dengan ketentuanNya.

Jika pilihan kita bukan seperti yang kita harap dan dambakan, percayalah tidak akan sesekali akan rugi bagi mereka yang bermusyawarah dan beristikharah kepada Allah. Adakalanya pilihan manusia itu, walau baik pada pandangan mata manusia, tetapi hakikatnya penuh kemudharatan tanpa kita sangka. Sedangkan sesuatu yang kita rasakan kurang baik di mata manusia, rupanya penuh kebaikan padanya tanpa sedikit pun kita menyedarinya. Mungkin juga pada saat ini kita melihatnya sesuatu yang indah, namun kita tidak tahu ianya akan menjadi suram pada masa mendatang.



Demikianlah pilihan Allah... ianya adalah baik untuk kita, agama kita, dan baik untuk setiap keadaan dan waktu yang ada. Pengetahuan Allah mengatasi pengetahuan hamba-hambaNya, maka serahkan urusan jodoh itu pada Allah. Jangan dipeningkan kotak fikir kita memikirkan siapa jodoh kita. Jika ada jodoh, pasti tidak akan ke mana. Yang penting siapkan diri kita agar menjadi soleh dan solehah. Siapa jodoh kita adalah ditentukan oleh diri kita sendiri. Jika kita soleh, insyaAllah Dia akan temukan kita dengan yang solehah. Jika kita solehah, maka Allah akan temukan dengan yang soleh. Bukankah Allah telah berfirman, Lelaki yang baik itu untuk wanita yang baik. 
Maka Yakinlah!  Janji Allah itu pasti benar.

Jangan mudah lesu dengan istiqamah.Jangan mudah mengalah dengan ujian yang ada tetapi jadikan lah ujian itu  sebagai satu kekuatan pada kita untuk terus berusaha dalam mencari cinta sejati. Namun nilai suatu cinta itu janganlah dilandaskan dengan nafsu. Biarlah ianya diredhai ole Allah swt. Suatu cinta yang berlandaskan nafsu itu mengundang murka Allah.

Tepuk dada tanya fikiran kerana apa kita cintakan seseorang itu. Adakah kerana hartanya? kerana paras rupanya? atau kerana agamanya? Pujilah kaum hawa itu atas kecantikannya tetapi pujilah dengan niat semata-mata pujian atas keindahan ciptaan Allah. Pujian yang bersandarkan kebesaran dan keagungan yang menciptakannya. Dan janganlah memuji sehingga mengundang syirik padaNya.

InsyaAllah para sahabat yang membaca akan saya doakan juga supaya anda dipertemukan jodoh yang baik yang mampu membahagiakan anda bukan sahaja di dunia bahkan di syurga kelak. Amin