Terkadang,
Angin yang lembut itu bisa berubah kencang,
Dan manusia yang sedang ketawa itu,
Terus menangis gundah..
"hahahaha" Satu hari, Syauqi seronok
bergelak ketawa, sambil kaki berjalan mengundur.
Gedebuk!
Seperti nangka sahaja jatuhnya, semua yang ada
terkejut.
Syauqi kembali bangun, menggosok-gosok punggungnya,
"HAHA. tak sakit tak sakit." Katanya selamba.
Ah anak kecil ini.
Dahulu Kita Juga Sepertinya
Sahabat,
Dahulu, Sewaktu kita kecil kita juga kuat. Banyak
kali kita terjatuh ketika cuba hendak berjalan, tapi akhirnya kita bangkit
kembali. Banyak kali kita 'dikecewakan' kerana tidak dapat menjamah semua
makanan, tapi selepas itu kita ketawa kembali. Banyak kali kita bergaduh dengan
teman sebaya, tapi selepas itu kita kembali bersapa dan berbual mesra.
Tapi,Semakin kita menginjak dewasa, kekuatan itu
semakin hilang.
Waktu ditimpa dugaan, kita asyik bersedih.
Waktu disapa ujian, kita asyik merungut.
Kita asyik menuding jari kepada Allah, sedang Allah
telah pun memujuk kita dengan ayat-ayat cintaNya :
Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa
sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,
(Sekali
lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.
(Al-Insyirah
: 5-6)
Terkadang ada manusia yang jadi malas beribadat,
tidak lagi percaya kepada Allah. Sedang Allah setia menunggu, rintihan dan doa
dari hamba yang amat dirinduiNya..
Sahabat,
Dahulu, seorang sahabat Nabi, ketika ujian tidak
ditimpakan kepadanya, dia berasa gundah dan sedih, soalan yang sama
diulang-ulang : Apakah Allah telah lupa kepadaku?
Sekarang sahabat,
Allah menguji tidaklah sehebat ujian yang ditimpakan
kepada ummat terdahulu.
Kita tidak ditimpakan ujian sehebat Zainab puteri
Rasulullah yang terpaksa memilih antara suami yang masih jahiliyyah atau ayah
tercinta.
Kita tidak ditimpakan ujian sehebat Sumayyah yang
seisi keluarganya dibunuh di hadapan mata.
Kita tidak ditimpakan ujian sehebat Bilal bin Rabah,
dijemur, diseksa, dihempap batu.
Sahabat,
Allah sungguh kasih kepada kita. Tapi berbalaskah
kasih itu?
Jangan Menyalahkan Takdir
Ada orang, yang usahanya sedikit, dan bila datang
sesuatu yang tidak memuaskan, dia berkata : Ini adalah takdir.
Sahabat,
Kata-kata begitu hakikatnya seolah-olah kita
menyalahkan takdir. Sesuatu yang belum berlaku tidak dinamakan takdir, bahkan
kita masih ada peluang untuk mengubahnya.
Jika semuanya mahu bergantung kepada takdir, maka
orang jahat tidak akan berubah menjadi baik kerana takdirnya sudah jahat.
orang miskin tidak perlu berusaha mencari duit,
kerana takdirnya sudah miskin.
Pelajar corot tidak perlu belajar kerana takdirnya
sudah corot.
Begitukah?
Mari kita baca satu cerita :
Ketika wabak penyakit berlaku di Syam, Umar
Al-Khattab telah bermesyuarat dan mengambil keputusan untuk tidak memasuki
Syam.
Ada yang bertanya : Adakah engkau melarikan diri
daripada Qadar Allah wahai Amirul Mukminin?
Beliau menjawab : ya, kita lari daripada Qadar Allah
kepada Qadar Allah. Apa pendapat kamu jika kamu berada di atas dua jenis tanah
iaitu yang subur dan kering. Bukankah jika kamu usahakan yang subur, kamu
mengusahakannya dengan Qadar Allah dan jika kamu ushakan yang kering, kamu
mengusahakannya dengan Qadar Allah juga?
Nak dengar cerita lagi?
Suatu ketika, seorang lelaki telah kalah dalam satu
perbahasan dan berkata "Allah telah menentukan bahagianku."
Nabi SAW memarahinya kerana berkata
demikian.Lahiriahnya kata-kata itu menggambarkan iman tetapi hakikatnya
menampakkan kelemahan.
Sabda baginda:
"Allah membenci orang yang lemah, tetapi
apabila tewas dalam suatu urusan kamu berkata: Bahagianku telah ditentukan oleh
Allah."
Berusaha dan berusahalah dengan bersungguh, pilihlah
takdir yang kita mahu... sehingga di pengakhiran usaha, ada sesuatu yang kita
dapat setelah berusaha, barulah berkata : inilah yang telah ditentukan Allah
buatku.
Tanya pada diri, apa usaha kita, dan jangan asyik
berkata "Ala,dah takdir.."
Jadilah kuat. Islam itu hebat, maka mari jadi hebat
untuk Islam.
Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada
sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.
(Ar-Ra'd :11)
Berimanlah kepada Qada' dan Qadar Allah ; berusaha
dengan apa yang kamu termampu dan berserah dengan kekuasaan Allah. Bekerjalah
tanpa putus asa.
Jernihkan fikrah kita. Islam itu amaaaatttt Indah.
Berusaha!
Fighting!
Tatkala hujan yang lebat itu telah pergi,
Pelangi memuncul diri,
Dan manusia,
Terus merungut mengenangkan hujan yang telah pun
berlalu..
LA TAHZAN INNALLAHAMAANA.
No comments:
Post a Comment