Cinta itu fitrah bagi manusia... Namun, hati-hati
memilih dan menyusun cinta. Jangan tersalah menyemai cinta pada yang fana'...
Cinta yang hakiki pada Yang Baqa'... Jangan jadi hamba cinta yang sementara...
Dengarkan hikayat ini yang penuh bererti...
Setelah burung Hud-hud selesai bercerita,
burung-burung yang lain mula bersemangat membahas kebesaran Sang Raja dan
dipenuhi kerinduan untuk menerimanya sebagai penguasa mereka. Semuanya tidak
sabar untuk segera berangkat. Mereka memutuskan untuk pergi bersama;
masing-masing ingin menjadi sahabat yang lainnya dan menjadi musuh untuk
dirinya. Tetapi, ketika mereka menyedari betapa jauhnya perjalanan dan betapa
beratnya menempuh perjalanan itu, mereka mula ragu-ragu.
WaIaupun setiap burung sudah berniat untuk menempuh
perjalanan, masing-masing mengajukan keberatan. Burung bulbul yang sedang
kesamaran, maju ke hadapan dengan penuh perasaan. Dia mencurahkan gelora
hatinya pada ribuan nada lagu-lagunya. Pada setiap nada ada satu aIam rahsia.
Ketika dia menyanyikan seluruh misteri ini, burung-burung menjadi bungkam,
“Rahsia cinta sudah aku ketahui.” katanya. “Sepanjang malam, aku ulang
lagu-lagu cintaku. Tidak adakah Daud yang malang supaya aku dendangkan baginya
mazmur cinta yang penuh kerinduan?"
Rintihan seruling yang manis terjadi keranaku,
begitu pula jeritan suara biola. Ku ciptakan goncangan antara bunga mawar dan
juga hati para pencinta. Selalu ku ajarkan misteri baru. Setiap saat aku ulangi
lagu-lagu derita yang baru. Ketika cinta menguasai jiwaku, nyanyianku seperti
lautan yang menderu. Sesiapa sahaja yang mendengarku, meninggalkan akal
sihatnya walaupun dia termasuk orang bijak.
Jika aku berpisah dari Mawar kesayanganku, aku
berdukacita. Ku hentikan nyanyianku dan tidak ku ceritakan rahsiaku kepada sesiapa
pun. Rahsiaku tidak diketahui oleh sesiapa pun, hanya Sang Mawar yang tahu
dengan pasti. Begitu dalamnya aku mencintai Sang Mawar, aku tidak pernah lagi
memikirkan wujudku sendiri. Aku hanya memikirkan Sang Mawar dengan putik
sarinya.
Perjalanan menuju Simorgh di luar kemampuanku. Cinta
Sang Mawar sudah cukup bagi burung bulbul. Untuk dakulah Sang Mawar berbunga
dengan ratusan putiknya; apalagi yang aku inginkan Sang Mawar yang merekah hari
ini penuh dengan kerinduan dan ia tersenyum bahagia buatku. Ketika ia
menampakkan wajahnya di balik kelambu, aku tahu itu dilakukan untukku.
Bagaimana mungkin Sang Bulbul melewatkan satu malam pun tanpa kecintaan pesona
ini?”
Burung Hud-hud menjawab: “Wahai Bulbul yang
terpesona oleh bentuk luar! Berhentilah dalam kebahagiaan kerana keterikatan
kepada hal yang menipu. Kecintaan Sang Mawar mengandungi banyak duri: ia telah
mengganggu dan menguasaimu. Walaupun Mawar itu indah, keindahannya akan segera
hilang. Sesiapa sahaja yang mengejar kesempurnaan diri, tidak boleh menjadi
hamba bagi cinta yang segera berlalu. Jika senyum bunga mawar membangkitkan
ghairahmu, senyum itu akan mengisi siang malammu hanya dengan rintihan.
Tinggalkan Mawar, kerana pada setiap musim bunga yang baru, ia mentertawakanmu.
Setelah itu, ia tidak pernah tersenyum lagi. Malulah kamu pada dirimu!
wiwit! heh
ReplyDeletexyah nk wieit sgt la...hu2.. ang pnye blog lg lawa..hu2
ReplyDelete