"Kehidupan dunia ini (jika dinilaikan dengan
kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan, dan
sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya,
sekiranya mereka mengetahui." (Surah al-Ankabut , ayat 64)
Melihat kepada fenomena hari ini, terdapat pelbagai
ragam manusia. Ada kehidupan mereka yang tidak berubah-ubah sedari kecil,
remaja, dewasa, tua dan sehinggalah ajal datang menjemput. Tetapi ada juga yang
berubah mengikut peredaran usia dan waktu serta keinginan hati mereka dalam
mencari kebenaran dan arah tuju hidup.
KEINGINAN UNTUK BERUBAH
Sememangnya sudah fitrah manusia untuk kembali
kepada kebenaran meskipun mereka adalah dari golongan seburuk-buruk dan
sejahat-jahat manusia. Mungkin sukar untuk percaya, seorang yang digelar
'setan' itu jauh di sudut hatinya ingin menjadi seorang yang baik.
Keinginan untuk menjadi baik dan akhirnya menemui
laluan ke arah kebaikan itulah sebenarnya yang dinamakan hidayah. Dengan
kehendak Allah, hati yang telah ditutupi dan diselaputi dengan dosa dan noda,
akan ada sedikit lubang kecil yang hanya dimuati laluan cahaya hidayah Allah
untuk ditembusi terus ke dalam hati-hati manusia yang terpilih.
Sebagaimana firman Allah dalam surah an-Nur ayat 35
yang bermaksud,
"Allah (memberi) nur (cahaya) langit dan bumi.
Umpama cahaya-Nya seperti sebuah lubang di dinding rumah, di dalamnya ada
pelita. Pelita itu di dalam gelas. Gelas itu seperti bintang yang berkilauan.
Pelita itu dinyalakan dengan minyak pohon yang diberkati iaitu minyak zaitun
yang (tumbuh) bukan di timur dan bukan di barat, minyak itu hampir bercahaya
dengan sendirinya meskipun tiada disentuh api. Cahaya berdampingan dengan
cahaya. Allah menunjuki sesiapa yang dikehendaki-Nya kepada cahaya-Nya itu.
Allah menunjukkan beberapa contoh untuk manusia. Allah mengetahui setiap
sesuatu."
BERSYUKUR
Tatkala kita merasakan kumpulan dosa terlalu banyak,
janganlah kita berputus asa dari rahmat-Nya dan merasakan diri tiada tempat di
sisi Allah untuk kembali ke pangkal jalan. Sebaliknya bersyukurlah, dengan
terdetiknya sedikit penyesalan itu sebenarnya adalah satu bentuk hidayah Allah
yang lahir tanpa kita sedari kecuali bagi mereka yang berfikir akan nikmat yang
Allah berikan. Kerana dosa yang kita sedari itulah yang mendekatkan diri dengan
Allah dan seterusnya melahirkan rasa kehambaan dalam diri dan mengakui
kelemahan sebagai seorang manusia yang perlu bergantung kepada Sang Pencipta.
Berbanding dengan mereka yang berasa diri tidak
pernah berbuat dosa dan sentiasa betul dalam kelakuan dan tindakan, ia cukup
bahaya kerana tidak sedar diri mereka sudah berada jauh dari Allah. Mereka ini
adalah golongan yang sombong dan tidak mengharapkan pertolongan Allah tetapi
lebih kepada mengikut kata hati dan berbuat apa sahaja yang mendatang kebaikan
dan keseronokan pada diri.
Apa yang terjadi hari ini, kita seringkali menolak
seruan-seruan untuk kembali kepada Islam. Pelbagai alasan yang diberikan kerana
merasakan diri masih muda dan belum tiba masanya untuk berubah. Alasan yang
paling suka diberikan ialah 'belum sampai seru!' alasan tersebut langsung tidak
munasabah. Mana mungkin kita mengharapkan sesuatu yang bernilai itu diberi
secara percuma tanpa perlu berusaha untuk mendapatkannya!
Seringkali apabila kita diberikan ujian dan
didatangkan suatu insiden barulah ia berjaya membuka hati kita untuk berubah.
Insiden tersebutlah yang akhirnya mengetuk pintu hati kita untuk bertaubat dan
kembali kepada jalan Allah. Kita dikira bernasib baik jika nyawa masih
dikandung badan tetapi apa akan terjadi jika kita sudah tidak diberi peluang
untuk bernafas dan menebus segala dosa-dosa lalu?
HIDAYAH NALURI
Hidayah datang dalam pelbagai bentuk. Bentuk yang
pertama ialah hidayah naluri (keinginan). Hidayah ini adalah sesuatu yang
semula jadi ada pada diri kita sejak dilahirkan ke dunia sebagai contoh, bayi
yang baru dilahirkan akan menangis apabila lapar. Nalurinya inginkan makanan
bagi menghilangkan rasa lapar. Yang kedua ialah hidayah melalui pancaindera.
Semasa kecil, kita dapat mengenali dan membezakan sesuatu perkara dengan
menggunakan pancaindera seperti mendengar suara ibu dan ayah atau dapat
mengenali sesuatu objek. Kemudiannya hidayah dalam bentuk akal fikiran yang
mana ia dikurniakan oleh Allah supaya dapat memandu kita berfikir secara
rasional sebelum bertindak.
HIDAYAH AGAMA
Seterusnya ialah hidayah agama. Hidayah inilah yang
menyelamatkan diri kita daripada kesesatan dengan berpegang teguh kepada ajaran
Islam dan beriman kepada Allah SWT. Ia dapat mendorong kita melakukan kebaikan
dan meninggalkan larangan Allah sekali gus dapat membezakan antara
perkara-perkara baik dengan perkara haram.
HIDAYAH TAUFIK
Yang terakhir ialah hidayah taufik yang mana
merupakan tahap hidayah yang tertinggi kurniaan Allah kepada hambanya yang
dikasihi. Tinggal sekarang, hidayah itu harus dijaga kerana nilainya tiada tara
dan tidak dapat ditukar dengan apa pun. Ia menjaga kehidupan kita di dunia
mahupun di akhirat kelak.
Hidayah pula diturunkan dalam dua cara iaitu hidayah
pemberian makhluk sama ada dari kalangan para nabi, pendakwah ataupun sesiapa
sahaja. Contohnya hidayah yang diturunkan melalui Nabi Muhammad agar membimbing
umatnya beriman kepada Allah. Namun, hidayah taufik ini tidak mampu diberikan
oleh makhluk tetapi hanya Allah yang berkuasa. Ia tiada pada Nabi Muhammad
walaupun baginda adalah seorang Rasul sebagaimana firman Allah dalam surah
al-Qashash ayat 56 yang bermaksud,
"Sesungguhnya engkau (ya Muhammad) tidak dapat
memberi hidayah/petunjuk kepada orang yang engkau cintai, akan tetapi Allah lah
yang memberi hidayah kepada siapa yang Dia kehendaki."
Adapun ciri-ciri orang yang sudah mendapat hidayah,
mereka hebat beribadat seperti melakukan solat fardu dan sunat, mengeluarkan
zakat dan rukun Islam yang lain, sentiasa memperuntukkan waktu untuk bertasbih
dan bertahmid kepada Allah SWT selain mengerjakan keperluannya di dunia. Mereka
ini tidak mampu melupakan Allah walau sesaat kerana begitu takut akan
pembalasan di hari akhirat nanti. Mereka juga terlalu berhati-hati dalam setiap
perlakuan agar tidak ditarik balik hidayah pemberian Allah.
Biarpun hidayah itu adalah pemberian Allah tetapi
tidak bermakna kita hanya berpeluk tubuh dan menunggu ia datang kepada kita.
Hidayah perlu dicari dan boleh diusahakan jika kita benar-benar inginkannya
dengan memohon kepada Allah. InsyaAllah, kita pasti akan diberikan hidayah.
- Artikel iluvislam.com