Thursday, 21 June 2012

ISRAK MIKRAJ




Peristiwa Israk dan Mikraj berlaku pada 27 Rejab, tahun ke-12 dari masa kenabian Nabi Muhammad s.a.w. Ianya juga merupakan peristiwa penting yang dirayakan setiap tahun oleh seluruh umat Islam di seluruh dunia. Tarikh ini bersamaan 662M iaitu ketika Nabi berumur 52 tahun, setahun sebelum penghijrahan Nabi dari Mekah ke Madinah.

Israk bererti perjalanan Nabi Muhammad s.a.w pada malam hari dengan menaiki burak bermula dari Masjid al-Haram di Mekah ke Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis. Manakala Mikraj pula membawa maksud naiknya Nabi s.a.w ke langit dari Masjid al-Aqsa ke Sidratul Muntaha.

Peristiwa Israk Mikraj ini tercatat dalam surah al-Israk ayat 1 yang bermaksud “Maha suci (Allah) yang telah memperjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia (Allah) Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”

Para ulama' hadis, ulama' feqah dan ulama' tafsir secara umum menegaskan bahawa peristiwa Israk dan Mikraj berlaku dalam satu malam dan dalam keadaan baginda s.a.w sedar. Ia berlaku pada jasad atau tubuh dan ruh Nabi s.a.w. Sebagaimana difahami daripada firman Allah dalam ayat tadi di mana Allah menegaskan, yang bermaksud memperjalankan hambaNya pada waktu malam. Perkataan hamba yang dimaksudkan di sini iaitu Nabi Muhammad s.a.w yang mana meliputi batang tubuh dan ruhnya serentak bukannya ruhnya sahaja.

Mukjizatnya peristiwa ini jelas tergambar dari masa perjalanan yang hanya selama 3/4 malam iaitu dari jam 6 petang hingga 6 pagi sahaja Nabi sudah kembali semula ke Mekah sebelum terbit fajar. Baginda menunggang Buraq bersama Malaikat Jibril dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis, Palestin.

Peristiwa luar biasa ini paling penting dalam kalendar Islam kerana menandakan seseorang itu Islam atau kufur. Ia sebuah mukjizat dari Allah S.W.T bagi Nabi Muhammad s.a.w. yang tidak pernah berlaku ke atas rasul dan nabi sebelumnya. Hanya Nabi Muhammad s.a.w. sajalah yang diberikan anugerah dan kehormatan oleh Allah S.W.T untuk melakukannya sebagai tanda betapa tingginya penghargaan Allah S.W.T kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Sepanjang perjalanan Israk Rasulullah s.a.w yang ditemani Malaikat Jibril a.s telah melihat pelbagai peristiwa aneh. Antaranya Nabi melihat satu kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka, apabila dituai, hasil (buah) yang baru, keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah s.a.w diberitahu oleh Jibril, itulah kaum yang berjihad fisabilillah yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

Nabi telah diperlihatkan sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Rasulullah s.a.w diberitahu oleh Jibril, itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang). Nabi turut melihat sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Rasulullah s.a.w diberitahu oleh Jibril, itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

Selain itu, Nabi melihat satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail, itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri atau suami. Turut kelihatan seorang lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tetapi ditambah lagi kayu yang lain. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibril, itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

Ketika Nabi diIsrakkan, Nabi telah diberi gambaran oleh Allah akan keadaan umur dunia yang sangat tua melalui keadaan seorang perempuan bongkok tiga yang menahan Baginda untuk bertanyakan sesuatu. Pelbagai peristiwa aneh lain yang berlaku di malam Israk Mikraj ini yang banyak memberi maksud tersurat dan tersirat di sebaliknya.

Kesimpulannya, peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan setiap kali 27 Rejab menjelang tiba. Apa yang lebih penting adalah kita sebagai umat Islam hendaklah menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara sebaliknya. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya telah memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah SWT dan takut akan kekuasaan-Nya.

Friday, 15 June 2012

CINTA ALLAH




ketika aku memohon keberaniaan,

ALLAH memberi bahaya untuk aku atasi perasaan

takut,

ketika aku memohon bantuan,

ALLAH memberikan aku kesempatan,

ketika aku memohon kepandaian,

ALLAH memberi aku kesulitan agar aku belajar 

erti hidup,,

ketika aku mohon kesenangan,

ALLAH memberi aku masalah untuk aku uraikan,,
,
ALLAH memberi
 akal untuk aku berfikir,,

 agar aku dapat menggunakannya dengan 

sebaiknya,


disaat aku memerlukan cinta,

ALLAH hadirkan orang yang tidak kenal erti

 cinta,

agar aku tahu bahawa cintaMU lebih utama..

ALLAH tidak pernah memberi apa yang aku minta,

tapi ALLAH beri apa yang aku perlukan...

sesungguhnya ALLAH telah mengatur segalanya,

itulah yang terbaik buat aku,

dan itulah nikmat dalam jagaanNYA..

usah dipinta agar dikecilkan ujian,

tapi pintalah agar dibesarkan iman untuk 

menghadapinya..

semoga sentiasa mekar dalam bimbingan cinta 

ALLAH..



UJIAN DUNIA JAMBATAN KE AKHIRAT


Dunia itu umpama satu jambatan. Akhirat itu umpama satu perhentian. Destinasi yang kekal buat selama-lamanya. Akhirat itulah bermulanya satu kehidupan yang baru dan abadi. Tiada siapa menduga waktu dan saat bila ianya akan berlaku. Tiada siapa yang dapat memberitahu kita kerana rahsia itu hanya Allah jua yang Maha Mengetahui. Pemilik Agung Rahsia alam!

Detik berlalu meninggalkan kita. Saat  yang tiba menanti dengan penuh rahsia. Kita tidak tahu apa yang bakal menimpa, menguji dan mendatangi kita.. Samada yang akan hadir itu nanti adalah musibah, ujian, duka atau bahagia.. Yang pasti semuanya adalah teristimewa dan terindah daripada Allah untuk kita.  Hanya Allah jua yang Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hamba-hambaNya.

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."
(Surah Al-Baqarah, ayat 216)


Bergembiralah dan senyumlah apabila yang menjadi tetamu kehidupan itu adalah ujian atau musibah. Ujian itu tidak semuanya pahit dan tidak semua yang pahit itu tidak baik untuk kita. Adakalanya yang pahit itu umpama ubat. Seperti orang yang sakit, ubatlah temannya. Begitulah ujian musibah yang Allah berikan untuk kita. Allah berikan 'ubat' agar menjadikan hati kita lebih baik dan sihat. Dan ujian itu jugalah tanda Allah mengasihi kita.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tiada seorang mukmin ditimpa rasa sakit, kelelahan (kepayahan), diserang penyakit atau kesedihan (kesusahan) sampai pun duri yang menusuk (tubuhnya) kecuali dengan itu Allah menghapus dosa-dosanya." (Hadis riwayat Al-Bukhari)
Maha suci Allah yang memiliki seluruh alam.. Dia mengetahui apa jua yang terbaik untuk hamba-hambaNya. Hanya dengan sekelumit ujian membawa kita membesarkan Allah di dalam hati.  Ya, dengan sekecil-kecil musibah itu juga membawa minda kita supaya sentiasa berpaut mengharap perlindungan dan perhatian daripada Allah SWT.  Sungguh, dengan ujian itulah Allah meninggikan darjat hambaNya.. Maka usah bersedih dan sentiasalah bersangka baik tika diri diuji.

"Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah pula kamu bersedih hati padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya jika kamu orang-orang yang beriman."
(Surah Al-Imran, ayat 139)

Monday, 11 June 2012

DESIRAN UJIAN DARI ALLAH


Angin bayu berdesir lembut,rintik hujan mulai turun. Menyapa lembut pipi. Hening dan tenangnya saat ini. SubhanAllah,sungguh indah ciptaanMU. Angin,hujan... Anugerah yang tidak terhingga dari MU buat hambaMU yang cukup cintakan ketenangan ini.

Merasai dan menikmati. Memerhati alam sekeliling membuatkan aku berfikir 'Alangkah cantiknya ciptaan Allah'. Pokok hijau subur melata. Bunga-bunga hidup subur berwarna-warni mewarnai hidup sang makhluk yang lain. Mewarnai anak mata setiap kali memandang. Ibarat pelangi yang memberi sinar yang cantik pada pandangan mata hamba yang bergelar manusia saat pandangan ke sudut lain menyesakkan mata. Sudah menjadi sunnatullah bahawa setiap hambaNYA akan diuji.

Namun,setiap ujian daripada Allah kepada setiap dari hambaNYA adalah berbeza. Aku diuji dengan cara begini,kamu diuji dengan cara begitu dan dia diuji dengan cara demikian. Berbeza semuanya. Jadi tidak ada ruang untuk kita mengatakan yang hanya kita sahaja diuji serta mempunyai masalah dan orang lain tidak. Kerana pada hakikatnya,setiap hambaNYA pasti akan diuji. Cuma bagaimana cara kita untuk menangani dan menghadapi setiap ujian itu. Andai langkah yang diambil adalah betul,maka mudahlah untuk kita selesaikan setiap ujian dan masalah yang bertandang tanpa dijemput itu. Namun,ujian dalam arena dakwah datang silih berganti. Bagai tidak ada hentinya untuk menguji ketetapan hati seorang dai'e. Diuji dari segenap sudut. Masalah persahabatan,gerak kerja,keluarga dan tidak terkecuali fokus utama sebagai pelajar,masalah pembelajaran akademik. Suka untuk saya coretkan disini petikan kata-kata yang dibaca dari sebuah laman sesawang.

Ujian itu satu tarbiyah daripada Allah,
Semakin dekat diri kepadanya,
Semakin kuat taufan yang melanda,
Biar rebah, Jangan berubah,
Biar terbuang ,Teruslah berjuang.
Senyum mujahid Memburu syahid



Kata-kata diatas cukup bermakna bagi insan yang berfikir dan memerhati. Menyuntik semangat. Ya,ujian adalah tarbiah dari Allah untuk menguji kekuatan dan keteguhan iman kita kepada Allah. Semakin galak dan garang kita beribadat kepada Allah makin banyak ujian yang bertamu. Bagai tiada hentinya. Namun,tidak dapat dinafikan ujian juga ibarat penambah rasa dalam masakan kehidupan. Yang terkadang manis, masin dan pahit,itulah ujian. 

Menyempurnakan masakan kehidupan. Dalam menghadapi liku-liku hidup bertemankan ujian terkadang ramai yang tersalah andaian dan penilaian terhadap insan yang ditimpa ujian. Salah faham dan salah sangka terhadap insan yang diuji tidak dapat dipisahkan dalam pelayaran melayari setiap ujian. Sehinggalah kita sendiri yang merasai dan menanggung sendiri bebanan yang pernah dilalui oleh insan yang pernah kita 'nilai' dan membuat 'penilaian' suatu ketika disaat mereka dibebani ujian. Walaubagaimana pun, pengalaman diuji antara kamu dan dia tetap berlainan meski pun diuji tentang perkara yang 'sama'. Lumrah manusia suka untuk membuat penilaian dengan pandangan mata kasar tanpa berfikir dan memerhati dengan mata hati. Siapa tahu insan yang dinilai itu sesunggguhnya amat dibebani dengan bebanan yang berat dan getir bagi dirinya.

Kita sebagai insan yang berada disamping mereka harus sedar dan faham kondisi mereka. Ya,memang mudah untuk sekadar meluahkan kata-kata dan mencoret sini sana tetapi sukar untuk melaksana. Itu tidak dapat dinafikan. Tetapi sekurang-kurangnya jangan terlalu mudah untuk menilai setiap perbuatan mereka saat mereka diuji. Terkadang penilaian insan sekeliling saat diri mereka diulit bebanan dan ujian juga boleh menambahkan beban. Jangan biarkan diri kita menambahkan tekanan mereka yang sudah sedia ada. Sebaliknya jadilah insan yang memberi sinar baru buat diri mereka.

Saturday, 2 June 2012

SALAM IMTIHAM




Segala puji bagi Allah S.W.T. yang sentiasa memelihara kita dalam menempuhi kehidupan yang penuh ujian dan cubaan ini. Selawat dan salam kepada junjungan besar nabi Muhammad S.A.W. dan para sahabat Baginda yang telah berjuang bermati-matian dalam menyebarkan kalimat Allah di muka bumi ini.

Sahabat sekalian,

Musim peperiksaan menjelang lagi. Peperiksaan merupakan satu ujian zahir kepada kita semua. Sukalah kami untuk mengandaikan peperiksaan ini sebagai satu medan perjuangan kita. Peperiksaan menuntut kita untuk memberikan sepenuh komitmen dan tenaga dalam mempersiapkan diri dengan sebaiknya bagi menghadapi soalan yang bakal ditanya kelak. Bukan sahaja komitmen yang tinggi diperlukan, malah kita juga perlu memastikan momentum itu sentiasa “maintain” supaya usaha yang telah kita lakukan itu berterusan sehingga ke hari peperiksaan. Kadang kala, kita terpaksa mengorbankan perkara-perkara kegemaran seperti “games” atau laman-laman sosial dalam memastikan persiapan kita tidak terganggu. Sebab itulah kami mengandaikan musim peperiksaan ini sebagai satu medan perjuangan kepada kita sebagai pelajar. InsyaAllah, semoga segala komitmen kita ini akan berterusan walaupun selepas musim peperiksaan ditangguhkan untuk seketika.

Walaubagaimanapun, saya ingin mengajak rakan-rakan sekalian untuk kita bersama-sama berusaha kerana Allah S.W.T. Niat yang ikhlas kerana Allah, insyaAllah dapat membantu kita mengulang kaji pelajaran dengan lebih efektif dan berkesan. Semoga segala usaha kita dianggap sebagai amal kebajikan yang dapat membantu kita di dunia ini, mahu pun di akhirat kelak.

Marilah kita bersama-sama memohon pertolongan daripada Allah S.W.T. dalam menghadapi musim peperiksaan ini. Hal ini selari dengan firman Allah, di dalam surah Ghafir, ayat 60

Mafhumnya: Dan Tuhanmu berfirman, “Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong tidak mau menyembah-Ku akan masuk nerakan jahanam dalam keadaan hina dina”.

Akhir kalam, saya mengucapkan semoga berjaya kepada kita semua. InsyaAllah kita semua akan mendapat keputusan yang cemelang dalam peperiksaan yang bakal menjelang tiba nanti.

Sekian, terima kasih.