Ketika Rasulullah s.a.w mengerjakan ibadah haji yang terakhir, maka
pada 9 Zulhijjah tahun 10 hijarah di Lembah Uranah, Bukit Arafah,
baginda menyampaikan khutbah terakhirnya di hadapan kaum Muslimin, di
antara isi dari khutbah terakhir Rasulullah itu ialah:
“Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku
tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas
tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan
sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada
hari ini.
“Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini
sebagai suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai
amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada
pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain
tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhya kamu akan
menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala
amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu, segala urusan yang
melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang”.
“Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia
telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar,
maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam
perkara-perkara kecil”.
“Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu,
mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan
hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak diberikan makan dan
pakaian, dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan
baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka
adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka
ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak
sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
“Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini,
sembahlah Allah, dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan
Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah
ibadah haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah
saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang
pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal
soleh.
“Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk
dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh
itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan
kebenaran selepas ketiadaanku.
“Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang
selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia,
nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan
kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang
sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu
tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur’an dan Sunnahku.
“Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula
kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari
mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya
telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu.”
No comments:
Post a Comment