Aku sangat cemburu
apabila melihat sahabat-sahabat yang mampu berterusan atau dengan kata lainnya,
istiqamah turun ke masjid/surau untuk solat fardu secara berjemaah.
Aku menjadi cemburu
melihat sahabat-sahabat yang mampu istiqamah dalam pembacaan al-Mathurat
selepas subuh dan selepas asar.
Aku cemburu kepada sahabat-sahabat yang mereka mampu istiqamah membaca Al-Quran setiap hari.
Aku cemburu kepada
sahabat-sahabat yang mampu istiqamah dan maintain kan hafazan Al-Quran mereka
malahan dapat menambahkan lagi ayat-ayat dan surah-surah hafazan bagi mereka
yang belum habis menghafaz.
Aku merasa cemburu
kepada sahabat-sahabat yang dapat istiqamah dalam mengamalkan solat sunat Dhuha
tiap-tiap hari dan juga bagi mereka yang dapat istiqamah dalam solat sunat
hajat. Lebih-lebih lagi kepada mereka yang dapat mengamalkan solat sunat
rawatib.
Cemburu dengan
sahabat-sahabat yang sentiasa berselawat ke atas junjungan mulia Rasulillah
SAW. Selawat dan salam ke atas baginda. Dan juga sahabat-sahabat yang sentiasa
beristighfar kepada Allah SWT dan sentiasa berzikir mengingati Allah SWT.
Sangat cemburu kepada
sahabat-sahabat yang istiqamah dalam belajar ilmu agama (Tolabul Ilmi).
Aku terlalu cemburu
kepada sahabat-sahabat yang istiqamah dalam membina kekuatan rohani iaitu
qiamullail di waktu 2/3 malam.
Hadis nabi yang
bermaksud:-Daripada Syufyan Ibn Abdillah
As-Saqafi berkata, Aku berkata, "Wahai Rasulullah katakanlah kepadaku satu
perkataan dalam Islam yang aku tidak akan bertanya kepada seorang pun selain
engkau. Baginda bersabda, "Katakanlah, "Aku beriman kepada Allah,
kemudian beristiqamahlah (jangan menyimpang)."
(Hadis
Riwayat Muslim)
Istiqamah merupakan
satu perkara yang sangat payah untuk dilakukan. Kadang-kadang terasa kaslan
(malas), kadang-kadang terasa nak menangguh, terkadang masa tak mencukupi.
Hendak melakukan sesuatu amalan secara istiqamah bukanlah sesuatu perkara yang
mustahil tetapi sesuatu perkara yang cukup mencabar keimanan seseorang muslim.
Sebagaimana yang kita tahu, amalan yang sedikit tetapi kita istiqamah dalam
melakukannya lebih baik daripada kita melakukan banyak amalan tetapi tidak
secara istiqamah.
Namun jangan pula
diambil mafhum ayat di atas dengan mengatakan "aku nak pilih amalan yang
sedikit je la, lagi senang kan...."
Betulkanlah kefahaman
kita. Sesungguhnya bukanlah istiqamah di sini hanya sekadar cukup dengan amalan
yang sedikit namun Rasulullah lebih mendidik kita agar lebih mengutamakan
kualiti daripada kuantiti. Selagi mana kita mampu beramal dan beristiqamah
dengan amalan kita, teruskan. Dan sekiranya kita mampu lagi untuk menambahkan
amalan kita dan dapat beristiqamah dengannya, maka teruskanlah. Setelah yakin
dapat istiqamah dengan amalan itu, maka tingkatkanlah dengan amalan lain
pula. Itu yang seelok-eloknya.
Ingat Ya Ikhwan...
Manusia yang bodoh ialah manusia yang hari ini sama dengan hari semalam
manakala manusia yang pandai dan berjaya ialah manusia yang hari ini lebih baik
dan ada peningkatan daripada hari semalam.
Teringatkan pada kata
seorang teman ,
"Payah ke
istiqamah? Tengok aku, istiqamah je main game FIFA/PES."
Saya hanya ketawa tanpa
berkata apa-apa dan hanya berfikir itu hanyalah gurauan semata walaupun
sebenarnya kata-kata itu menyedarkan saya tentang sesuatu iaitu istiqamah!.
Hati saya terdetik, mungkin Allah mahu memberitahu saya - "Jika kita mahu
mengekalkan dan istiqamah dalam melakukan sesuatu, kita mesti punya minat dalam
melakukan ia. Dan dari sudut lain, perlu ada kesedaran betapa bermaknanya
sesuatu itu. Memaknakan sesuatu yang bermakna!
Justeru, minat, kecintaan dan kesungguhan
dalam melakukan sesuatu perkara juga perlu untuk disebatikan di dalam diri.
Demikianlah para ulama' yang
sentiasa istiqamah di dalam ibadah yang
dilakukan. Di dalam hati mereka hanya ada cinta kepada Allah dan Rasul-Nya
lantas mereka dapat merasakan kekusyukan dan kemanisan dalam beribadat kepada
yang Maha Esa. Lantaran didikan Rasulullah itu lah, mereka sentiasa istiqamah
dan menjadi hamba yang punya kualiti di dalam ibadahnya, punya taqwa yang
tinggi di dalam hatinya. Kita?
"Ya
Allah, jauhnya darjat ku ni berbanding dengan mereka ini. Semoga aku dapat
bersama dengan mereka beristiqamah dalam agama islam. Insya Allah..."
"Maka
tetaplah (istiqamahlah) kamu pada jalan yang benar, sebagaimana diperintahkan
kepadamu dan (juga) orang yang telah taubat beserta kamu dan janganlah kamu
melampaui batas. Sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan"
(Surah Hud ayat 11)
Ambillah pedoman
daripada cerita sang Abid, Barsisa yang tekun beribadat selamat 70 tahun, namun
kecundang dengan tipudaya syaitan. Berakhir dengan sujud kepada syaitan dan
kufur kepada Allah. Menunjukkan betapa hebatnya cabaran dan susahnya untuk
istiqamah dalam beribadah kepada Allah. Kita sering kali gagal untuk terus
istiqamah kerana pujuk rayu syaitan yang menggiurkan.
Berhubung dengan
ini, Allah SWT menyatakan di dalam
firmanNya yang berbunyi:-
"Dan
ketika syaitan mencantikkan bagi mereka perbuatan mereka, dan dia berkata,
'Tidak ada seorang manusia pun yang dapat mengalahkan kamu pada hari ini, dan
sesungguhnya aku adalah pelindungmu." ..(Surah Al-Anfaal ayat 48)
Semoga Allah jauhkan
kita daripada perkara-perkara yang menyebabkan manusia tergelincir dari jalan
islam dan tergolong dari mutasaqitun (golongan yang tercicir).
"Ya
Allah. Istiqamahkan kami dalam ketaatan kepada-Mu dan tetapkan langkah kami
dalam memperjuangkan agama-Mu. Amin Ya Rabbal 'Alamin."