Tatkala Rasulullah berdakwah ke Taif, masyarakat
Taif bukan sahaja tidak menerima dakwah baginda, malah mencaci, menghina dan
melempari baginda dengan batu. Para malaikat menawarkan diri untuk menghapuskan
orang-orang yang berlaku durjana kepada baginda. Tetapi dengan tenang, baginda
menjawab: “Biarkan mereka, jangan diapa-apakan mereka kerana mereka tidak tahu,
mereka masih jahil.”
Demikianlah, orang-orang yang tinggi taqwa dan
keimananya; tidak mengeluh apabila diuji. Berbeza dengan golongan orang awam
seperti kita ni, apabila diuji kita mudah jahat sangka dengan Allah dan
berdendam dengan orang yang mendatangkan ujian kepada kita. Walhal bukan orang
itu yang hendak menyusahkan kita, tetapi hakikatnya Allah. Allah yang hendak
uji kita, menggunakan orang itu sebagai perantaraan.
Jadi, tanyalah Allah kenapa kita diuji. Marilah kita
lihat bandingannya. Katalah suatu ketika guru besar mengarahkan ketua murid
merotan seorang murid yang melanggar disiplin sekolah. Apa reaksi murid yang
dirotan itu? Kalau dia seorang yang insaf dan tahu diri, ia segera terfikir
akan kesalahan yang dilakukannya, mungkin dia berazam untuk tidak mengulanginya
lagi. Itulah murid yang cerdik, dia sedar hikmah di sebalik dia dirotan. Tetapi
bagi murid yang tidak mahu berfikir, sudahlah tidak mahu mengaku kesalahannya,
dia berdendam pula kepada ketua murid atau guru besar yang merotannya. Mengapa
harus berdendam? Ketua murid hanya menjalankan tugas. Guru besar pula
menjalankan keadilan; yang bersalah tidak dihukum, tidak ada jaminan yang dia
tidak mengulangi kesalahannya. Kalau begitu, murid yang bersalah itu layaklah
dirotan. Begitulah halnya dengan Allah yang Maha Pengasih.
Berbagai-bagai cara Allah gunakan untuk mendidik
kita.Diberikan-Nya ujian demi ujian sebagai peringatan kepada kita. Tetapi
sedikit sekali yang mencari hikmah dan mengambil iktibar daripada ujian yang
ditimpakan.Malahan ujian membuatkan kita bertambah jauh dari Allah; mengeluh
dan menyesali takdir Allah. Marilah kita menyedari akan kesilapan kita selama
ini. Terimalah sagala ujian yang besar mahupun yang kecil sebagai satu didikan
terus dari Allah.
Dan ingatlah, andaikata kita diuji, kita masih wajib
bersyukur kerana masih ada 1001 jenis nikmat lain yang Allah kurniakan kepada
kita! Jadi mengapa mesti merungut ketika diuji?Ujian itu adalah tanda kasihnya
Allah kepada hambanya seperti Nabi saw bersabda
"Sesungguhnya
antara dosa itu ada dosa yang tidak dapat ditebus oleh sembahyang, haji dan
umrah hanya dapat ditebus dengan kerisauan hati dalam mencari nafkah
hidup." (Riwayat Ibnu dan Abu Na'im dari Abu Hurairah).
Apalah guna hidup senang, tetapi penuh dengan dosa
dan noda, Nabi saw bersabda "Sesungguhnya yang lebih lama susahnya di dunia ialah
yang lama gembiranya pada akhirat dan lebih lama kenyangnya di dunia akan lebih
lama lapar di akhirat." (Riwayat Ibnu Asakir)
.Ini
bererti mereka yang hidup sengsara, menderita kelaparan, sakit dan risau di
dunia ini akan mendapat kegembiraan yang lama pada akhirat nanti, sebaliknya
golongan yang kenyang dan gembira di dunia ini akan lama kelaparannya pada
akhirat.
Bagi mereka yang hajatnya tidak tercapai di dunia
ini, janganlah berduka cita atau putus asa atas keputusan Allah, habuan mereka
tersimpan pada akhirat nanti.Allah berfirman yang bermaksud:
"Demi
sesungguhnya kami akan menguji kamu dengan dengan sedikit perasaan takut
(kepada musuh) dan (dengan berasa) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan
dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira
kepada orang yang sabar." (Surah al-Baqarah, ayat 155).
Manusia berasa sukar menerima keadaan yang biasa
menimpa seperti kemiskinan, kerugian, kehilangan barang, pangkat, kematian dan
perkara lain yang mengurangi kesenangannya.Apa yang dapat bertahan dalam
kesukaran seperti itu hanyalah orang yang mempunyai sifat sabar dan reda. Dalam
hadis Qudsi nabi menceritakan "bahawa Tuhan berkata" Akulah
Allah, tidak ada Tuhan yang sebenarnya, selain Aku, maka barang siapa tidak
sabar atas cubaanku, tidak bersyukur atas nikmatku dan tidak rela terhadap
keputusanku, maka hendaklah dia mencari Tuhan yang lain daripada Ku."
Nabi saw membuktikan cinta dan kasih sayang kepada umatnya ia sanggup
menanggung segala susah payah yang menimpa dan inginkan kebaikan daripada
umatnya, hingga hampir wafatnya ia masih menyebut umatku, umatku, umatku,
seperti mana firman Allah bermaksud
"...sesungguhnya
sudah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi
Muhammad saw) yang menjadi sangat keberatan kepada sebarang kesusahan yang
ditanggung oleh kamu, yang sangat lobakan (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan)
ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang
beriman." (Surah at-Taubah, ayat
128).
Tidak ada siapa pun yang mahu meminta supaya dirinya
dikenakan musibah, contohnya sakit, kerana tidak tahu nikmat musibah itu
sebenarnya, sebaliknya mengganggap musibah itu adalah buruk. Dari
Abud Dardaa' berkata "orang tidak suka kemiskinan dan aku suka, dan tidak
suka mati dan aku suka, dan tidak suka penyakit, aku suka".